AM

TEMPOH KELULUSAN IMPORT BIJIRIN DIPENDEKKAN KEPADA SEBULAN, PERKUKUH KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA 

18/12/2025 11:18 AM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 18 Dis (Bernama) -- Jabatan Pertanian (DOA) melaksanakan langkah strategik memendekkan tempoh kelulusan pengimportan bijirin daripada dua bulan kepada sebulan sebagai usaha proaktif memperkukuh keterjaminan makanan negara serta memastikan kelangsungan operasi industri makanan.

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi berkata keputusan itu susulan keperluan industri yang bergantung kepada bekalan bijirin import sebagai bahan mentah utama, khususnya sektor makanan ternakan yang menjadi tulang belakang rantaian bekalan protein negara.

“Keputusan dibuat untuk memenuhi keperluan kritikal sektor pemprosesan makanan manusia serta industri makanan ternakan dalam memastikan bekalan mencukupi, stabil dan berterusan bagi menyokong operasi industri serta menggalakkan pertumbuhan sektor pertanian dan pemprosesan makanan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Nor Sam berkata pemendekan tempoh kelulusan itu juga digerakkan melalui penambahbaikan menyeluruh tatakelola pengimportan konsainan berasaskan tumbuhan dengan memanfaatkan digitalisasi sepenuhnya.

Penggunaan sistem digitalisasi secara menyeluruh membolehkan seluruh proses permohonan pengimportan sehingga pengeluaran Permit Import (IP) dipercepat tanpa menjejaskan kawal selia dan keselamatan biosekuriti negara.

Ditanya perbezaan proses baharu dengan kaedah lama, beliau berkata sebelum ini proses itu memerlukan semakan berperingkat dan melibatkan masa pemprosesan lebih panjang.

“Proses baharu menekankan digitalisasi dan integrasi sistem end-to-end yang membolehkan semakan, rujukan dan kelulusan dilakukan lebih cepat, telus dan seragam. Proses pemadanan maklumat negara sumber, syarat fitosanitasi dan kelulusan permit kini lebih efisien melalui platform digital bersepadu,” katanya.

Antara teknologi utama menyokong inisiatif itu ialah Sistem Malaysia Import Control System (MyAICS) oleh DOA yang berfungsi sebagai rujukan fitosanitasi nasional dan Sistem AgroTrade oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi kelulusan negara sumber baharu dalam tempoh lima hari bekerja.

Turut digunakan Sistem ePermit oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi pengeluaran IP dengan kelulusan permit diproses lebih cepat dan teratur kerana tiga sistem itu beroperasi secara bersepadu yang menyumbang kepada kecekapan keseluruhan rantaian proses.

Nor Sam berkata pemendekan tempoh kelulusan pengimportan bijirin memberi impak positif yang signifikan kepada pengimport, industri ternakan dan pasaran tempatan, khususnya dalam memastikan kelancaran rantaian bekalan bahan mentah berasaskan tumbuhan.

“Langkah ini memudahkan pengimport terutama pengusaha industri makanan ternakan mendapatkan bekalan bijirin dengan lebih cepat dan teratur serta mengurangkan risiko kelewatan bekalan yang boleh menjejaskan operasi pemprosesan.

“Ia juga memastikan setiap konsainan bijirin diimport mematuhi peraturan fitosanitasi ditetapkan serta bebas daripada ancaman perosak selaras dengan keperluan kawal selia dan keselamatan biosekuriti negara selain menyokong kelancaran rantaian bekalan makanan ternakan dan kestabilan pasaran domestik,” katanya.

Sebelum ini, DOA mengkaji semula syarat pengimportan bijirin ekoran terdapat ketidakpatuhan syarat import seperti pintasan perosak (perosak produk simpanan) dan terdapat artikel terkawal (sekam, tangkai, kulit dan lain-lain) dalam konsainan.

Pada 2014, DOA mengenakan IP dan Sijil Fitosanitasi (PC) bagi pengimportan kacang soya, jagung dan semua bijirin bagi tujuan makanan haiwan dan untuk memudahkan penyelarasan pemeriksaan serta penguatkuasaan di pintu masuk, keperluan IP dan PC bagi pengimportan semua bijirin mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2021.

Syarat pengimportan semua bentuk bijirin bagi semua tujuan pengimportan daripada semua negara ke Malaysia adalah tertakluk kepada IP, PC, pemeriksaan di pintu masuk oleh MAQIS atau Jabatan Pertanian Sabah serta Sarawak.

Tindakan kuarantin akan dikenakan ke atas konsainan yang didapati tidak mematuhi syarat yang telah ditetapkan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan