EKONOMI

ASEAN INSURANCE PULSE 2025 MALAYSIAN RE TUMPU HALANGAN PREMIUM RENDAH, JURANG KAPASITI

18/12/2025 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re) melancarkan edisi kesembilan penerbitan penyelidikan tahunannya, ASEAN Insurance Pulse 2025.

Laporan itu meneliti kapasiti pengekalan premium dan keupayaan pasaran insurans ASEAN, yang boleh membantu meningkatkan kemampuan rantau tersebut untuk menaja jamin dan membendung lebih banyak risiko.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Re, Ahmad Noor Azhari Abdul Manaf dalam satu kenyataan hari ini berkata peningkatan pendapatan, pendigitalan, pelaburan infrastruktur dan kesan perubahan iklim yang semakin meningkat menyebabkan permintaan terhadap perlindungan risiko semakin kukuh di seluruh rantau ini. 

“Boleh dikatakan, kadar penembusan kekal rendah, walaupun dalam pasaran insurans semula/insurans yang paling matang, dan nisbah kapasiti dan pengekalan adalah terhad, terutamanya untuk risiko yang besar, kompleks dan berintensifkan modal. 

“Mengakui bahawa perkara ini sebagai satu kebimbangan yang kritikal bagi penanggung insurans di rantau ini, kami memilih untuk memberi tumpuan kepada topik ini dalam ASEAN Insurance Pulse 2025.

“Ia menekankan mengenai cabaran utama yang mengehadkan pembangunan pasaran dan menyediakan panduan penyelesaian bagi memupuk pertumbuhan yang mampan serta meningkatkan perlindungan ke atas masyarakat di seluruh rantau ini,” katanya. 

Berdasarkan 15 temu bual berstruktur dengan eksekutif kanan dari syarikat insurans dan insurans semula di ASEAN, laporan itu mendapati bahawa walaupun permintaan bagi perlindungan terhadap risiko yang besar dan kompleks meningkat, risiko berkolerasi, lebihan modal terhad dan keupayaan teknikal yang tidak sekata terus mengekang kapasiti pengekalan penanggung insurans, sekali gus menyebabkan kapasiti domestik yang tidak mencukupi di kebanyakan pasaran. 

“ASEAN Insurance Pulse 2025 turut menyatakan bahawa akses kepada pemodelan bencana lanjutan, data berkualiti tinggi dan kemahiran aktuari kekal tidak sekata di seluruh ASEAN. 

“Selain itu, keupayaan untuk meningkatkan pengekalan dan daya tahan dihalang oleh pelbagai halangan perdahangan rasmi dan tidak rasmi yang mengehadkan persaingan, mengurangkan kapasiti dan menghalang inovasi dalam pasaran insurans tempatan,” menurut kenyataan itu. 

Laporan itu juga mendapati bahawa pengukuhan bagi mengekalkan risiko ekonomi strategik domestik dan serantau akan memerlukan penubuhan kumpulan insurans serantau, rangka kerja mampu bayar yang lebih sesuai dan peningkatan kepakaran serantau, terutamanya dalam pemodelan bencana. 

Ahmad Noor Azhari menambah bahawa amat penting untuk terus membina kepakaran dan kapasiti serantau bagi mengukuhkan daya tahan industri insurans ASEAN serta peranannya dalam menyokong kemajuan ekonomi dan sosial. 

“Bagi mencapai matlamat ini, ia memerlukan kerjasama dalam kalangan peserta industri dan pihak berkepentingan sektor awam untuk membangunkan keupayaan bersama, rangka kerja yang sejajar serta penyelesaian yang mampan,” katanya. 

Sementara itu, laporan ASEAN Insurance Pulse 2025 boleh dimuat turun di www.malaysian-re.com.my.

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan