KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Papa Zola The Movie, filem animasi terbaharu Malaysia terbitan MONSTA Studio dan Astro Shaw berjaya mencatat kutipan box office berjumlah RM25 juta selepas 11 hari tayangan di pawagam.
Pencapaian itu meletakkan filem berkenaan pada kedudukan teratas dalam carta 10 Terbaik Golden Screen Cinemas (GSC) mengatasi beberapa tayangan antarabangsa utama termasuk Avatar: Fire and Ash, Zootopia 2 dan Five Nights at Freddy’s 2.
Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA Nizam Abd Razak berkata musim cuti sekolah yang telah bermula mendorong ibu bapa untuk meluangkan masa bersama anak-anak dan pihaknya sangat bersyukur kerana Papa Zola The Movie dipilih sebagai tontonan mesra keluarga di pawagam.
“Lebih bermakna apabila kejayaan ini turut didorong oleh perkongsian pengalaman oleh penonton sendiri. Fenomena “Demam Kebenaran” membuktikan bahawa filem tempatan yang disokong sendiri oleh penonton mampu menginspirasikan lebih ramai untuk menghargai karya tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie dan Ketua Astro Shaw Raja Jastina Raja Arshad menzahirkan penghargaan atas sokongan padu yang diterima walaupun berdepan saingan sengit daripada francais Hollywood.
“Bersaing dengan pelbagai tayangan baharu daripada francais Hollywood yang popular, kejayaan ini membuktikan bahawa filem tempatan mampu berdiri setanding dengan filem luar.
“Ia juga mencerminkan keupayaan industri kreatif Malaysia untuk menghasilkan kandungan berkualiti tinggi yang menambat hati penonton pelbagai peringkat usia. Setinggi-tinggi penghargaan kami ucapkan kepada semua peminat dan penonton yang terus menyokong Papa Zola The Movie di pawagam,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan, jelajah promosi yang diadakan pada hujung minggu di Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Lembah Klang telah menarik kehadiran orang ramai. Kemunculan maskot Papa Zola, Mama Zila, Pipi Zola dan BoBoiBoy turut menerima sambutan luar biasa sekali gus menyemarakan fenomena “Demam Kebenaran” yang menyelubungi Papa Zola The Movie.
Papa Zola The Movie mengisahkan tentang Papa Zola, seorang bapa penyayang yang bekerja keras demi menyara keluarga kecilnya. Tanpa disangka, dia bertemu dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam sebuah organisasi rahsia bernama P.A.P.A (Protect and Prevent Agency).
Keadaan menjadi tegang apabila anaknya, Pipi diculik oleh makhluk asing hingga memaksa Papa Zola dan Mama Zila bertindak pantas menyelamatkan anak mereka dan melindungi dunia.
Filem tersebut sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei, manakala jadual untuk tayangan antarabangsa dijangka bermula di Indonesia pada Januari 2026, diikuti India, Vietnam serta pasaran Timur Tengah termasuk Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Turkiye pada April 2026.
-- BERNAMA
