AM

MANGSA BANJIR DI ACEH PERLUKAN SOKONGAN PSIKOSOSIAL

05/01/2026 08:50 PM

DUNGUN, 5 Jan (Bernama) -- Mangsa banjir di Aceh, Indonesia masih memerlukan sokongan, khususnya dari segi psikososial susulan bencana terburuk yang melanda wilayah itu sejak sebulan lepas.

Ketua Misi Bantuan Bencana Banjir di Aceh Faiz Qayyuum Abd Majid berkata dalam usaha menyantuni mangsa yang masih trauma, sebanyak 10 anggota sukarelawan mewakili badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia berada di Batang Ara, Daerah Aceh Tamiang pada 31 Dis hingga Sabtu lepas.

Beliau berkata sukarelawan belia yang terlibat dalam misi bantuan itu adalah hasil kolaborasi strategik pelbagai NGO, antaranya Volunteering Trip Malaysia, Pertubuhan Jiwa Amal Malaysia, IMPAK Malaysia, Satria MIVEC, Malaysian Relief Agency, Pertubuhan Kebajikan Amanah Prihatin, Kelab Belia Tinagayan dan The Helmis Warrior.

“Kehadiran kami ini juga ingin memastikan mangsa tahu mereka tidak bersendirian dalam mengharungi krisis ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata tempoh sebulan selepas bencana lazimnya menjadi fasa paling mencabar bagi mangsa apabila perhatian dunia mula beralih dan mereka terpaksa berdepan krisis itu dengan bantuan yang semakin berkurangan.

Faiz Qayyuum berkata cabaran utama misi itu ialah infrastruktur yang lumpuh sepenuhnya di kebanyakan kawasan terjejas termasuk akses kepada bekalan air bersih dan tenaga elektrik yang masih belum pulih.

“Situasi itu bukan sahaja menyulitkan kehidupan seharian mangsa, malah menuntut ketabahan fizikal dan mental tinggi daripada barisan sukarelawan yang beroperasi dengan kemudahan minimum. 

“Keadaan cuaca yang masih hujan turut memaksa pasukan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga selain mengganggu kelancaran pengurusan logistik keluar masuk ke kampung-kampung terjejas,” katanya.

Faiz Qayyuum berkata sepanjang misi pasukan sukarelawan melaksanakan gerak kerja komprehensif di pusat pemindahan, antaranya menjalankan agihan kit bayi serta kit kebersihan wanita yang mengandungi tuala wanita serta pakaian dalam. 

Beliau berkata misi itu turut diperkasakan dengan penyediaan makanan siap masak menerusi dapur umum untuk kira-kira 500 mangsa, aktiviti sukaneka bagi merawat trauma kanak-kanak serta perkhidmatan gunting rambut percuma yang julung kali diadakan bagi mengembalikan semangat penduduk setempat.

Seorang daripada sukarelawan belia dari Dungun yang menyertai misi itu, Syafiqah Nabihah Shamsul Bahri berkata misi pertamanya ke luar negara memberikan pengalaman yang amat menyentuh perasaan.

“Perasaan hiba menyelubungi diri apabila melihat penderitaan saudara kita yang ditimpa bencana itu apabila terpaksa bergelap tanpa bekalan elektrik dan kekurangan air bersih.

“Walaupun gementar berhadapan cabaran di lapangan, saya tekad memberikan yang terbaik demi memastikan setiap bantuan sampai kepada mangsa dan membawa sedikit sinar harapan,” katanya.

Media melaporkan banjir dan tanah runtuh yang melanda Sumatera pada akhir November lepas mengorbankan lebih 1,000 nyawa, dengan 165 orang masih hilang manakala lebih 250,000 penduduk terpaksa dipindahkan.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, Aceh Tamiang mencatatkan jumlah penduduk dipindahkan kedua tertinggi, iaitu kira-kira 115,000 orang, selepas Aceh Utara yang merekodkan 166,900 orang.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan