BATU PAHAT, 5 Jan (Bernama) -- Operasi Mencari dan Menyelamat dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut di perairan Batu Pahat Sabtu lepas, kini diperluas meliputi kawasan seluas 207 batu nautika persegi, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata sehingga hari ini, usaha pencarian masih belum menemukan sebarang petanda dan operasi tertumpu di sekitar posisi terakhir mangsa dilaporkan terjatuh ke laut.
Beliau berkata operasi berkenaan dilakukan menggunakan bot Petir 51 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan melibatkan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan tempatan.
“APMM menggesa komuniti maritim agar menangguhkan aktiviti ke laut sekiranya cuaca tidak baik serta mengutamakan aspek keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan.
“Nelayan juga dinasihatkan sentiasa peka terhadap risiko di laut dan membuat persediaan awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan Mohd Fadzli Misran, 41, hilang bersama rakannya Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, selepas mereka keluar sekitar jam 6 petang untuk memeriksa bubu udang dan memancing kira-kira 800 meter dari jeti Sungai Tongkang.
Namun, kehilangan kedua-dua lelaki itu hanya disedari penduduk apabila bot yang mereka naiki ditemukan bersama joran serta bubu, tanpa kehadiran mereka.
-- BERNAMA
