AM

300 MAHASISWA TERIMA ZAKAT MENERUSI PROGRAM UNIMAP-MAIPS PEDULI 2026

22/01/2026 10:25 PM

ARAU, 22 Jan (Bernama) -- Sebanyak 300 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima manfaat agihan zakat berjumlah RM90,000 menerusi Program UniMAP-MAIPs Peduli 2026 sebagai usaha berterusan untuk meringankan beban kewangan pelajar serta memperkukuh kebajikan golongan asnaf dalam kalangan warga universiti itu.

Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata untuk agihan zakat itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) melaksanakan proses pemilihan melibatkan 280 pelajar daripada tujuh fakulti manakala Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) memilih 20 pelajar Tahfiz Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Agihan zakat ini merupakan amanah yang perlu diurus secara telus dan berintegriti supaya benar-benar memberi impak langsung kepada kesejahteraan penerima,” katanya ketika berucap pada Majlis Agihan Zakat sempena Program UniMAP-MAIPs Peduli 2026 di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra di sini hari ini.

Pada majlis itu turut berlangsung penyampaian cek cura oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor bernilai RM90,000 kepada Zaliman yang disaksikan Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis merangkap Pro-Canselor UniMAP Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Beliau berkata agihan itu bukan sekadar bantuan kewangan sebaliknya satu amanah besar yang mencerminkan keprihatinan universiti berkenaan terhadap kebajikan mahasiswa khususnya dalam mendepani cabaran kos sara hidup dan kelangsungan pendidikan.

Zaliman berkata beliau merakamkan penghargaan kepada MAIPs serta semua penyumbang zakat yang terus mempercayai UniMAP untuk mengurus dan menyalurkan bantuan kepada mahasiswa yang layak.

Sementara itu, beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak 1,254 mahasiswa UniMAP menerima manfaat agihan zakat MAIPs dengan jumlah keseluruhan melebihi RM687,000 termasuk melalui program MAIPs Peduli dan Agihan Bantuan Pengajian sempena Ramadan.

“Prestasi kutipan zakat gaji UniMAP turut meningkat kepada RM1.77 juta pada 2025, naik hampir RM300,000 atau 16.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, peningkatan itu dijangka membolehkan agihan yang lebih meluas dan berimpak pada 2026," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan