SUKAN

PIALA MALAYSIA: NIDZAM OPTIMIS MAMPU SEKAT SELANGOR FC PADA SUKU AKHIR

26/01/2026 01:23 PM

SEREMBAN, 26 Jan (Bernama) -- Negeri Sembilan FC (NSFC) bertekad memanfaatkan sepenuhnya kekuatan dan komitmen pasukan serta sokongan penyokong untuk bertemu dengan Selangor FC pada aksi suku akhir Piala Malaysia 2025/2026.

Ketua jurulatih NSFC Mohd Nidzam Jamil berkata pertemuan itu juga dilihat sebagai peluang terbaik pasukannya mencipta kejutan selepas tewas kepada pasukan itu pada peringkat suku akhir Piala FA sebelum ini.

“Jalan ceritanya sangat bagus kerana pada suku akhir Piala FA, kita kalah bertemu Selangor FC (di laman sendiri), tetapi kita menang (di tempat lawan), namun agregat tidak memihak kepada kita. Jadi, sesuatu yang bagus untuk pasukan kita bertemu dengan pasukan sama pada suku akhir Piala Malaysia, kita akan cuba yang terbaik.

“Berhadapan dengan antara pasukan gergasi dan terbaik di Malaysia ialah cabaran yang kita sambut gembira, dalam Piala Malaysia ini kadang-kadang ada magisnya,” katanya selepas perlawanan menentang Imigresen FC (IFC) pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, di sini malam tadi.

Pada perlawanan itu, NSFC menang 1-0 hasil jaringan tunggal Luqman Hakim Shamsuddin, sekali gus memastikan Skuad Jang melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan pada aksi pertama di Stadium Batu Kawan sebelum ini.

Kemenangan itu mengesahkan kemaraan NSFC ke suku akhir untuk bertemu Selangor FC.

Dalam pada itu, Mohd Nidzam mengakui NSFC masih dilihat sebagai pasukan underdog berbanding Selangor FC, namun perkara itu tidak dianggap sebagai kelemahan, sebaliknya menjadi pembakar semangat buat pemain.

Berkenaan perlawanan malam tadi, beliau memuji pasukan IFC di bawah kendalian Yusri Che Lah yang menunjukkan persembahan cemerlang dan keupayaan luar biasa sepanjang perlawanan.

Sementara itu, Yusri berkata meskipun tewas, pasukannya tetap mempamerkan prestasi positif dan bermain dengan disiplin tinggi selain tidak memberikan laluan mudah kepada NSFC sepanjang lebih 90 minit perlawanan.

“Sehingga minit akhir mereka masih lagi berdaya saing … kita cuba kekang asakan di sebelah kanan, cuma sedikit kealpaan memberikan NSFC jaringan kemenangan … kita mungkin sedih dengan kekalahan ini, tetapi kita tidak akan ulangi kegagalan sama dalam perlawanan lain,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan