MELAKA, 27 Jan (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Urus (JKTU) Masjid Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menerima surat peletakan jawatan seorang setiausaha masjid yang perbuatannya menonton video tidak senonoh tular.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata mesyuarat JKTU memutuskan untuk menerima peletakan jawatan tersebut.
“...dan dengan itu, perkhidmatan beliau selaku setiausaha masjid dan pengerusi surau yang merupakan lantikan JAIM ditamatkan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Bukit Palah di sini hari ini.
Rahmad berkata pihaknya dimaklumkan laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat dan pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.
Beliau menasihati orang ramai agar tidak terus membangkitkan isu berkenaan demi meredakan keadaan serta menjaga kemaslahatan umat Islam.
-- BERNAMA
