AM

KUTIPAN KITARECYCLE DI MELAKA REKOD LEBIH 230,000 KILOGRAM TAHUN LEPAS

28/01/2026 02:08 PM

MELAKA, 28 Jan (Bernama) -- Sebanyak 234,143 kilogram sisa kitar semula berjaya dikumpulkan di Melaka sepanjang 2025 menerusi program kitar semula berganjaran KITARecycle, sekali gus mencerminkan peningkatan ketara tahap kesedaran masyarakat terhadap amalan dan gaya hidup lestari.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata jumlah kutipan itu meningkat lebih 16,000 kilogram berbanding 217,545 kilogram yang dikumpulkan pada 2024.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen komuniti terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar melalui usaha mengurangkan sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan, selari dengan aspirasi pembangunan bandar yang mampan dan berdaya huni.

“Sepanjang tempoh itu, kategori kertas dan plastik mencatatkan kutipan tertinggi masing-masing sebanyak 95,931 kilogram (95.93 tan) dan 40,605 kilogram (40.61 tan),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Norlisam berkata peningkatan kutipan tersebut turut dipacu oleh sambutan memberangsangkan ahli KITARecycle yang menghantar barangan kitar semula ke fasiliti pengumpulan yang disediakan di seluruh negeri ini.

Beliau berkata SWM Environment amat berbesar hati dengan perkembangan positif itu dan terus komited menggalakkan masyarakat menjadikan amalan kitar semula sebagai sebahagian daripada gaya hidup seharian bagi memelihara kelestarian alam sekitar.

Katanya Pusat Pandu Lalu KITARecycle (PPLK) di Taman Botanikal Melaka mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 63.38 peratus, dengan jumlah penerimaan 46,785 kilogram sepanjang 2025 berbanding 28,636 kilogram pada tahun sebelumnya.

“Ini membuktikan fasiliti seperti PPLK semakin diterima masyarakat setempat kerana memudahkan akses penghantaran barangan kitar semula.

"Bagi memperluaskan akses kepada orang ramai, barangan kitar semula boleh dihantar ke beberapa fasiliti pengumpulan di bawah inisiatif KITARecycle termasuk di Pangsapuri Sungai Putat, Batu Berendam, TS Park Taman Desa Bertam, serta lebih 60 fasiliti lain merangkumi pusat pengumpulan dan sangkar kitar semula di seluruh Melaka," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata jumlah keahlian KITARecycle di Melaka juga meningkat kepada hampir 25,000 ahli sehingga Disember 2025 berbanding 16,783 ahli pada 2024.

“Peningkatan ini bukan sahaja menyumbang kepada pengurangan sisa pepejal, malah menyokong kejayaan Melaka meraih pengiktirafan antarabangsa termasuk ASEAN Clean Tourist City Award sempena ASEAN Tourism Awards 2024 dan 2026,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan