AM

KAJIAN BHEUU: HAMPIR 90 PERATUS SOKONG TEMPOH JAWATAN PERDANA MENTERI DIHADKAN

29/01/2026 07:02 PM

PUTRAJAYA, 29 Jan (Bernama) -- Kajian tinjauan awam yang dijalankan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) mendapati majoriti besar responden bersetuju tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pembangunan) Datuk S. Punitha berkata sebanyak 3,722 responden mengambil bahagian dalam kajian berkenaan yang dilaksanakan selama seminggu bermula 22 Jan lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 89.90 peratus bersetuju dengan kewajaran penetapan had tempoh jawatan Perdana Menteri, 8.27 peratus tidak bersetuju manakala 1.75 peratus tidak pasti.

“Bagi had tempoh jawatan pula, 62.25 peratus responden bersetuju kepada dua penggal, diikuti 20.61 peratus memilih had maksimum 10 tahun,” katanya pada Sesi Dialog Awam Kerangka Akauntabiliti MADANI Mengenai Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Kajian itu juga mendapati 58.97 peratus responden menyokong kaedah pengiraan tempoh secara retrospektif, iaitu tempoh perkhidmatan sebelum pindaan turut diambil kira, manakala 35.46 peratus memilih prospektif.

Selain itu, 67.60 peratus bersetuju tempoh jawatan Perdana Menteri perlu dikira secara kumulatif sama ada berturut-turut atau tidak berturut-turut.

Dari segi kesan terhadap Jemaah Menteri, 39.84 peratus berpandangan perkara itu perlu ditentukan oleh Perlembagaan atau undang-undang, manakala 37.99 peratus berpendapat seluruh Jemaah Menteri perlu meletak jawatan bersama Perdana Menteri.

Punitha berkata majoriti responden juga berpendapat pengehadan tempoh itu tidak menjejaskan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong, dengan 73.05 peratus menyatakan kuasa tersebut kekal tidak terjejas.

Beliau berkata selain mendapatkan pandangan awam, BHEUU turut melaksanakan kajian perbandingan amalan terbaik melibatkan 14 negara dengan sistem monarki berpelembagaan dan republik yang mengamalkan pengehadan tempoh jawatan pemimpin.

"Negara-negara yang mengehadkan tempoh jawatan kepimpinan berbuat demikian bagi mengelak penumpuan kuasa, menggalakkan pembaharuan kepimpinan serta memperkukuh prinsip semak dan imbang," katanya.

-- BERNAMA

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan