AM

MALAYSIA PERLUKAN PEMBAHARUAN KONSISTEN UNTUK CAPAI SASARAN IPR MENJELANG 2033

16/02/2026 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Sasaran Malaysia untuk tersenarai dalam kelompok 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (IPR) Global menjelang tahun 2033 mampu direalisasi sekiranya komitmen politik disertai usaha pelaksanaan yang konsisten, menyeluruh dan berterusan.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Raymon Ram berkata peningkatan kedudukan negara ke tangga ke-54 dalam indeks 2025 dengan skor 52 mata mencerminkan trend kemajuan yang positif berbanding tempat ke-57 yang direkodkan pada 2024 namun untuk mencapai sasaran menjelang 2033, usaha yang konsisten dan kemajuan berperingkat amat diperlukan.

“Sememangnya, dari sudut matematik, sasaran itu mampu dicapai kerana jika dua hingga tiga mata dapat diraih setiap tahun, ia akan membawa kepada pencapaian yang dihasratkan namun perkara itu bukanlah satu tugas yang mudah.

“Kerajaan perlu mengambil kira pelbagai perspektif bagi memahami realiti di lapangan dan merangka langkah yang berkesan untuk memacu perubahan... usaha ini harus digerakkan secara kolektif ke hadapan, dan kita harus memastikan pelaksanaannya dilakukan dengan betul,” katanya ketika menjadi tetamu program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk CPI 2025: Malaysia’s Strategic Path Toward Global Integrity Standards terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Beliau mengaitkan peningkatan skor itu dengan beberapa pembaharuan perundangan utama termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta pindaan kepada Akta Audit 1957, yang memperluas skop pengawasan Ketua Audit Negara sehingga merangkumi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ram juga berkata pengenalan Strategi Pencegahan Rasuah Kebangsaan dan penubuhan Pasukan Petugas IPR yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara telah diiktiraf sebagai pencapaian institusi yang penting.

“Justeru, kita dapat melihat pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan dari segi pembaharuan institusi, dan langkah-langkah itu mungkin memberi kesan positif terhadap peningkatan skor.

“Selain itu, tindakan pendakwaan terhadap individu berprofil tinggi dalam pelbagai sektor pentadbiran awam turut menyumbang kepada pencapaian ini,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan