AM

KEPRIHATINAN SULTAN PAHANG SUMBER KEKUATAN PERKASA KOMUNITI LUAR BANDAR - AHMAD ZAHID

27/02/2026 11:53 AM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih atas titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memberi penekanan terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli dan pembangunan luar bandar di negeri itu. 

Menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini, Ahmad Zahid berkata titah baginda yang menyentuh aspek pelaksanaan projek bekalan air, pewartaan kampung Orang Asli serta penyediaan kemudahan asas memperlihatkan iltizam berterusan institusi Kesultanan dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perhatian berterusan Sultan Pahang terhadap isu membabitkan komuniti Orang Asli bukan sahaja mencerminkan kepimpinan berteraskan rakyat, malah menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa masyarakat luar bandar secara lebih inklusif.

“Perhatian berterusan Tuanku terhadap pembangunan masyarakat Orang Asli serta pemeliharaan hak dan kesejahteraan rakyat menjadi sumber kekuatan kepada usaha memperkasa komuniti luar bandar secara menyeluruh dan mampan,” katanya. 

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah bertitah projek rumah pam air Kampung Paya Badak di Temerloh, Pahang merupakan antara bukti bahawa masyarakat Orang Asli di negeri itu tidak pernah dipinggirkan.

Titah baginda, pelbagai usaha dilakukan bagi memperkukuh pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat luar bandar, khususnya masyarakat Orang Asli, menerusi pelaksanaan pelbagai projek kemudahan asas di seluruh Pahang. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan