AM > BERITA

Melaka Lancar Set Kombo Menu RM10 Sempena Program Melaka Bila Larut Malam

23/09/2024 10:22 AM

MELAKA, 23 Sept (Bernama) -- Melaka melancarkan Set Kombo Menu RM10 bagi Program Melaka Bila Larut Malam sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di sini malam tadi.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata inisiatif berkenaan yang akan mula dilaksanakan bermula 5 Okt hingga 2 Nov sempena Program Melaka Bila Larut Malam setakat hari ini melibatkan penyertaan 30 pengusaha restoran, kafe dan kedai makan di negeri itu.

Beliau berkata antara pengusaha terlibat ialah Kilang Makan, Parang Cafe dan The Windmill Station membabitkan pelbagai jenis menu termasuk laksa nyonya, cendol durian dan makanan barat.

"Inisiatif ini dilaksanakan hanya pada setiap minggu pertama setiap bulan sempena Program Melaka Bila Larut Malam bermula 11 malam hingga 2 pagi dan bakal menjadi satu daya tarikan baharu produk pelancongan negeri sempena TMM2024.

"Saya menyeru semua pengusaha kedai makan untuk menyambut pelaksanaan inisiatif ini dalam usaha membantu menggalakkan dan merancakkan ekonomi negeri serta mereka boleh bersama kerajaan negeri untuk menyertai Set Kombo Menu RM10," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Set Kombo Menu RM10 bagi Melaka Bila Larut Malam sempena  TMM2024 dan Kilang Makan yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman di Jalan Tun Ali di sini.

Sementara itu, Pengasas Kilang Makan Hailhesfa Mohd Merry berkata lebih 20 vendor makanan dan minuman di premis berkenaan menawarkan Set Kombo Menu RM10 kepada pengunjung serta pelancong  sempena Program Melaka Bila Larut Malam.

Beliau berkata inisiatif itu akan dilaksanakan bagi menyokong usaha kerajaan negeri untuk menarik pelancong menerusi tawaran harga menu lebih rendah berbanding hari biasa sekali gus membantu peniaga kecil menjana lebih pendapatan pada hari berkenaan.

Peniaga Noodle Department di Kilang Makan Rohaini Iskandar, 38, berkata bagi inisiatif itu, beliau menawarkan menu laksa nyonya bersama air mineral pada harga RM10 berbanding harga asal makanan berkenaan iaitu RM18.90.

Beliau berkata menerusi menu berkenaan, pelanggan dapat berjimat dan tidak perlu mengeluarkan belanja lebih untuk membeli air minuman dan laksa nyonya menjadi menu bagi tawaran itu yang sinonim dengan masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka.

"Laksa Nyonya yang saya jual merupakan resepi asal masyarakat Baba dan Nyonya yang diwarisi daripada datuk saudara daripada kaum berkenaan dan inisiatif sebegini secara tidak langsung membantu saya mempromosikan menu yang dijual," katanya yang mengusahakan perniagaan aneka mi sejak 2015.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan