AM > BERITA

Pertandingan Maxis eKelas MJD 2024 Promosi Pembangunan Kemahiran STEM Pelajar Malaysia

24/09/2024 11:12 AM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Maxis Berhad (Maxis) meneruskan misinya memupuk minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi pertandingan Maxis eKelas Misi Jelajah Digital (MJD) 2024, dengan menggalakkan mereka membentuk kempen advokasi digital menggunakan alat kecerdasan buatan generatif (GenAI).

Maxis dalam kenyataan memaklumkan untuk MJD 2024, Maxis eKelas telah mempelawa pelajar mencipta kempen digital yang menyokong satu daripada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Dengan tema ‘GenAI for Good’, pertandingan MJD tahun ini memberi tumpuan kepada penggunaan harian GenAI secara berhemah, produktif dan kreatif. Pelajar digalakkan melakukan penyelidikan sendiri dan memilih antara 17 matlamat SDG untuk melatih kemahiran membuat gesaan dan pemikiran kritis,” menurut kenyataan itu.

MJD 2024 telah dilancarkan secara rasmi di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur baru-baru ini, diikuti bengkel GenAI yang dihadiri 120 pelajar, dirasmikan Pengarah Bahagian Sumber Dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Aniza Kamarulzaman.

“Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) KPM amat menyokong aktiviti dan program yang dapat membantu peningkatan kemahiran teknologi digital dalam kalangan pelajar dan guru, selaras dengan Dasar Pendidikan Digital,” kata Aniza dalam ucapan perasmiannya.

Kenyataan Maxis itu memaklumkan, bagi membantu lebih ramai pelajar dengan penyertaan cabaran MJD mereka, Maxis eKelas sedang melaksanakan siri bengkel secara fizikal di 70 buah sekolah terpilih di Johor, Kelantan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Selangor, selain dua bengkel secara dalam talian telah diadakan melalui portal Maxis eKelas.

“Bagi cabaran MJD 2024, peserta kategori pelajar sekolah menengah akan diberi panduan mengenai cara penggunaan GenAI sebagai satu kemahiran digital, untuk menghasilkan kempen digital mereka. Peserta kategori pelajar sekolah rendah pula, akan diberi panduan penggunaan alat digital untuk melengkapi diri dengan kemahiran diperlukan untuk mempromosi SDG pilihan mereka,” kata beliau.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Mariam Bevi Batcha berkata pihaknya percaya, pendidikan STEM merupakan asas untuk inovasi dan pembangunan kemahiran yang akan memberikan pelajar kelebihan dalam merealisasikan potensi mereka pada masa hadapan.

“Sebagai Rakan DELIMa kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, kami berharap bahawa semua pelajar Malaysia dapat memanfaatkan pembelajaran yang disediakan secara percuma melalui Maxis eKelas dan menggunakan kemahiran yang diperoleh untuk menyertai pertandingan MJD serta meningkatkan prestasi akademik,” katanya.

Maxis eKelas tersedia untuk semua pelajar Tahun 4 sehingga Tingkatan 5 bagi memperkaya pembelajaran dengan kaedah yang meriah dan menyeronokkan, serta menyediakan akses kepada kandungan pendidikan berkualiti melalui sesi tutorial secara langsung, pertandingan, dan pelbagai jenis kandungan digital.

“Maxis eKelas tersedia secara percuma kepada semua pelajar Malaysia melalui www.ekelas.com.my ataupun aplikasi mudah alih melalui Google Play ataupun iOS App Store. Sejak 2023, Maxis eKelas juga tersedia melalui portal DELIMa oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Untuk mengetahui lebih lanjut tentang cabaran MJD tahun ini, sila layari www.ekelas.com.my/mjd2024. Tarikh tutup pertandingan MJD ialah 21 Oktober 2024,” katanya.

-- BERNAMA  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan