AM > BERITA

MOSTI Komited Laksana Pelbagai Inisiatif Pembudayaan STI - Chang

24/09/2024 04:27 PM

SERDANG, 24 Sept (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif pembudayaan dan jangkauan sains, teknologi, dan inovasi (STI) kepada masyarakat, kata menterinya Chang Lih Kang.

Berucap pada Majlis Peringkat Akhir Pertandingan National Science Challenge (NSC) 2024 Piala Pusingan Perdana Menteri di sini hari ini, beliau berkata program anjuran kementerian seperti Karnival Minggu Sains Negara (MSN) yang diadakan di negeri-negeri terpilih serta Kembara Sains Borneo (KSB) di Sabah dan Sarawak, telah mencatatkan penyertaan yang amat menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh minat terhadap sains dan teknologi, tetapi juga mendekatkan masyarakat dengan kemajuan STI yang sedang berlaku, ke arah membina sebuah negara yang lebih berdaya saing dan inovatif," katanya.

Chang berkata pengukuhan pembelajaran formal di sekolah menerusi aktiviti tidak formal seperti pertandingan NSC merupakan kaedah penting untuk memupuk minat mendalam pelajar terhadap subjek Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STEM).

Beliau berkata usaha menyemai minat perlu dilakukan selari dengan pemerkasaan kualiti pendidikan di Malaysia ke arah peningkatan bakat terutamanya dalam bidang STEM.

"Untuk memastikan kurikulum STEM terus relevan dan berdaya saing, ia perlu memenuhi keperluan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030, serta Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE)," katanya.

Sementara itu, Chang berkata NSC 2024 secara keseluruhannya berjaya mengumpulkan 9,689 pasukan yang membabitkan 29,067 pelajar di seluruh negara.

"Pelaksanaan NSC hampir suku abad oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) juga jelas menunjukkan peningkatan penyertaan yang mendadak pasca-COVID-19 yang memaparkan kemahuan pelajar untuk mencari platform pembelajaran luar kelas dengan kaedah pelaksanaan yang menarik bagi melengkapkan kurikulum yang diterapkan di sekolah," katanya.

Sementara itu, Sekolah Menengah Swasta St Joseph, Sarawak menjadi juara keseluruhan pertandingan NSC 2024 dan membawa pulang Piala Pusingan Perdana Menteri selain berpeluang mengikuti lawatan sambil belajar ke luar negara serta menerima biasiswa pendidikan, sijil penyertaan dan peranti.

Pertandingan NSC, yang terbuka kepada pelajar tingkatan satu hingga empat sekolah menengah awam, swasta dan antarabangsa di Malaysia, menjadi platform para peserta mengasah kemahiran komunikasi, semangat kerja berpasukan dan membina pemikiran kritis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan