AM > BERITA

Banjir: KPM Gerakkan Dua Pasukan Bantu Pelajar Terkandas Di PPS

24/09/2024 01:38 PM

TANJONG KARANG, 24 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menggerakkan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) bagi membantu murid-murid yang terkandas di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir di Kedah dan Perak.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata dua pasukan berkenaan yang dianggotai guru-guru antara lain berperanan untuk memberi bantuan dari aspek psikososial dan kaunseling serta memberi bantuan pembelajaran kepada murid yang terlibat banjir.

"Setakat pagi ini, sebanyak 677 murid masih berada di PPS,  kebanyakannya di Kedah iaitu 670 orang, manakala di Perak tujuh orang.

"Saya sendiri berkesempatan untuk melawat ke beberapa PPS di Kedah semalam untuk meninjau sendiri operasi di institusi KPM dijadikan PPS serta keadaan murid dan keluarga mereka yang berada di sana," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Hab Sains Teknologi dan Matematik (STEM) Program Duta Guru (PDG) Yayasan Petronas di sini hari ini. 

Setakat 8 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perak adalah sebanyak 6,833 orang yang masih berlindung di 34 PPS berbanding 7,210 orang malam tadi.

Mengenai PDG berkenaan, Fadhlina berkata guru-guru disaran untuk menambah kemahiran bersesuaian bagi memupuk minat pelajar terhadap STEM sekali gus melahirkan generasi yang celik dan mampan masa hadapan. 

"Kami berbesar hati untuk menerima hab STEM pertama di Selangor ini dan kami turut dimaklumkan oleh Yayasan Petronas akan ada lagi Hab Stem dibangunkan di beberapa lokasi lain di utara dan selatan negara. 

"Harapan kami cukup besar agar HAB STEM ini dan usahasama bersama Pusat Kegiatan Guru (PKG)  dari segi pembudayaan STEM, penglibatan guru, komuniti dan pelajar dapat ditingkatkan khususnya untuk merangsang minat dan melonjakkan potensi anak-anak kita dalam bidang ini," katanya. 

Hab STEM merupakan inisiatif di bawah kelolaan Yayasan Petronas untuk menyediakan ruang kepada komuniti guru bagi memastikan pelaksanaan kurikulum STEM lebih mantap dan relevan dengan keperluan masa kini menerusi pengisian teknologi dan alat bantu mengajar terkini. 

Berhubung peraturan rakaman dan siaran gambar membabitkan pelajar, Fadhlina berkata KPM telah pun mengeluarkan surat siaran dan garis panduan baharu berkenaan perkara berkenaan pada 21 Ogos lepas. 

"Peringatan itu telahpun kita keluarkan jauh lebih awal, dan ia peringatan sangat penting untuk semua pihak. Keutamaan KPM adalah keselamatan kanak-kanak di sekolah. 

"Jadi dalam garis panduan itu, kita telahpun peringatkan kepada guru berkenaan kebenaran yang diperlukan daripada ibu bapa apabila ingin membuat kandungan, kita mengambil berat tentang isu kebenaran ini kerana kita tidak mahu berbangkit isu besar lain khususnya berhubung keselamatan anak-anak," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika KPM berhasrat meneliti semula peraturan berhubung rakaman dan siaran membabitkan pelajar sekolah berikutan kes membabitkan seorang pemandu bas menyiarkan kandungan mengandungi pelajar sekolah rendah di akaun media sosial miliknya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan