AM > BERITA

Skim SIMP: Lebih RM10 Juta Ex-gratia Dibayar Kepada Nelayan Setakat Ini

24/09/2024 12:37 PM

GEORGE TOWN, 24 Sept (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang telah menyalurkan lebih RM10 juta bayaran ex-gratia kepada nelayan berdaftar di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) projek Pulau Silikon, setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PICSB) Datuk Seri Farizan Darus berkata daripada 877 nelayan yang berdaftar, sebanyak 680 nelayan telah menerima bayaran penuh ex-gratia manakala 53 lagi menerima 75 peratus bayaran mengikut kelayakan tahap dan kategori masing-masing.

“Proses pembayaran masih diteruskan untuk baki nelayan dan dokumen sokongan masih dikemas kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 98 tekong termasuk 77 orang dari unit Permatang Tepi Laut yang berdaftar SIMP telah menerima bantuan bot dan enjin baharu dalam majlis yang diadakan di Dewan Unit Nelayan Permatang Tepi Laut awal bulan ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan menguruskan penyerahan bantuan bot dan enjin baharu untuk 194 tekong aktif dari unit Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul walaupun pelaksanaan projek Penang South Islands (PSI) hanya melibatkan sebuah pulau iaitu Pulau Silikon, berbanding tiga pulau sebelum ini. 

Farizan berkata bot baharu berukuran 27 kaki panjang dan 7.4 kaki lebar itu dilengkapi enjin berkapasiti lebih besar iaitu 90 atau 100 kuasa kuda mengikut jenama pilihan tekong masing-masing.

“Setiap tekong Tahap 1 yang berkelayakan juga akan menerima kelengkapan seperti robot, sonar, GPS dan pukat untuk membantu mereka pergi lebih jauh untuk mendapat hasil tangkapan yang lebih lumayan,” katanya.

Beliau berkata seiring dengan bantuan ex-gratia skim SIMP, tekong Permatang Tepi Laut yang menambat bot di kawasan Sungai Bayan Lepas turut menerima bangsal baharu.

Farizan menyatakan dua bangsal contoh telah siap dibina dan diserahkan kepada nelayan Oktober tahun lepas manakala baki 61 unit bangsal akan dibina secara berfasa dengan fasa pertama bagi 12 bangsal telah dimulakan dan dijangka siap Ogos tahun depan.

Sementara itu, Ketua Unit Nelayan Permatang Tepi Laut Mohd Kassim Mohamed berpuas hati dengan semua bantuan yang dihulurkan kepada nelayan di bawah skim SIMP.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang terlibat dalam memberikan kerjasama untuk proses pembekalan bot dan enjin serta kelengkapan kepada nelayan yang layak. Sebagai ketua unit, kebajikan nelayan harus diutamakan,” katanya.

Pulau Silikon seluas 2,300 ekar (930.78 hektar) merupakan projek penambakan milik kerajaan Pulau Pinang bermatlamat untuk menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang negeri itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan