AM > BERITA

PM Anwar Hulur Sumbangan Kepada 202 Keluarga Mangsa Banjir Di Pulau Pinang

24/09/2024 05:34 PM

BUTTERWORTH, 24 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyalurkan sumbangan bantuan khas RM500 kepada setiap 202 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana banjir di Pulau Pinang, minggu lepas.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Kanan beliau Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Kepada Mangsa Bencana Pulau Pinang, di Dewan Besar Sungai Dua di sini.

Shamsul Iskandar berkata selain itu, 202 keluarga yang berdaftar dengan pusat pemindahan sementara (PPS) khususnya melibatkan daerah Seberang Perai Selatan, Sebarang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah itu juga, akan menerima RM1,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Jadi, setiap keluarga yang terjejas akan menerima RM1,500 dan ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri serta kerajaan, sangat prihatin dan terkesan dengan mereka yang diuji dengan musibah banjir ini. Bersama-sama kita akan pulih dan bangkit semula.

“Mudah-mudahan sumbangan ini juga dapat membantu meringankan beban mereka untuk membaiki apa yang rosak akibat banjir,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tersebut pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim.

Sebanyak 11 PPS dibuka dari 17 hingga 21 Sept lepas, berikutan kejadian banjir itu yang menempatkan 760 orang daripada 202 keluarga, sebelum kesemua mereka kembali ke kediaman masing-masing pada Sabtu.

Sementara itu, seorang mangsa banjir Mohd Azhari Yaacob, 57, dari Kampung Lahar Yooi di sini bersyukur dengan bantuan sumbangan yang diberikan Perdana Menteri dan NADMA, kerana membantu meringankan beban.

“Tempat saya kerap banjir dan kerugian yang saya hadapi kira-kira RM15,000, lagipun PMX (Perdana Menteri ke-10) sangat biasa di tempat kami, tetapi saya tidak jangka langsung dapat bantuan terus daripada PM,” katanya.

Hamid Hashim, 69, pula berkata bantuan yang diterima hari ini, akan dapat meringankan beban dan masalah yang dihadapi susulan banjir minggu lepas, yang mengakibatkan banyak kerosakan di rumahnya.

“Air naik sampai lutut dan banyak barang perabot sudah rosak, jadi saya akan gunakan duit ini untuk membeli perabot. Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan,” katanya.

Mary Nathan, 65, dari Kampung Stesen, Nibong Tebal juga menyatakan rasa seronok beliau, kerana menerima bantuan RM1,500 apatah lagi menjelang perayaan Deepavali pada bulan depan selepas beberapa perabot di rumahnya musnah akibat banjir.

Mary yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) berkata sekarang beliau hanya tidur di atas kerusi kerana katilnya telah dihanyutkan banjir, justeru bercadang untuk membeli katil serta almari baharu menggunakan wang bantuan yang diterima hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan