AM > BERITA

KEDA Salur Peruntukan RM115,000 Sedia Bakul Makanan Bantu Mangsa Banjir

24/09/2024 03:29 PM

ALOR SETAR, 24 Sept (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperuntukkan RM115,000 bagi penyediaan bakul makanan sebagai membantu mangsa banjir di wilayahnya menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI).

Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Shariff berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM80,000 diperuntukkan untuk mangsa di luar Desa KEDA, RM30,000 untuk mangsa dalam kalangan staf KEDA dan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) manakala selebihnya bagi penduduk Desa KEDA serta penduduk dalam kawasan program Santuni MADANI.

“Bakul makanan ini akan diberikan kepada mangsa terkesan akibat bencana banjir dan semua sumbangan itu disampaikan dalam masa terdekat. Selain itu, KEDA telah menggerakkan Skuad Prihatin KEDA untuk membantu semasa pascabanjir.

“Kita akan menilai jumlah kerosakan yang berlaku di kawasan KEDA dan menyampaikan maklumat kepada KKDW untuk tindakan lanjut,” katanya pada program penyerahan bantuan kepada mangsa banjir Santuni MADANI di Tongkang Yard di sini hari ini.

Pada program itu, sebanyak 50 set bakul makanan berisi makanan asas seperti beras dan gula diserahkan kepada Jawatankuasa Masjid Al-Ihsan untuk diserahkan kepada anak kariah yang terjejas.

Beliau berkata beberapa pelajar dari Kolej KEDA juga turut membantu mangsa dengan membaiki perkakasan elektrik dan motosikal yang rosak akibat banjir secara percuma.

“Skuad Prihatin KEDA akan kenal pasti mangsa banjir memerlukan bantuan, lepas itu kita cari alat ganti yang diperlukan. Pelajar-pelajar kita akan gunakan kemahiran yang ada untuk membaiki peralatan rosak...diharapkan sumbangan kecil ini dapat mengurangkan bebanan mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima Salmah Hassan, 73, berkata sumbangan hari ini sangat bermakna buat diri dan anaknya Siti Nazila Rosli, 31, berikutan rumah yang disewa mereka musnah dalam kebakaran kira-kira 9 pagi tadi.

“Air banjir masuk pada Selasa lepas hingga paras pinggang dan menyebabkan beberapa peralatan di dalam rumah tenggelam...hari ini, rumah pula terbakar tetapi syukur semasa kejadian kami tiada di rumah. Beberapa peralatan rumah dan kucing juga telah dibawa ke rumah baharu yang kami sewa di Jalan Langgar,” katanya.

Mohd Yatim Mohd Akhir, 68,  yang menghidap angin ahmar sejak enam tahun lepas berkata banjir yang melanda tahun ini agak teruk berbanding sebelumnya.

"Air naik tinggi juga dan saya bersama empat lagi ahli keluarga duduk di rumah dalam keadaan banjir selama tiga hari, kami tidak berpindah kerana (rumah masih) dalam keadaan selamat...terima kasih kepada KEDA kerana sudi memberi sumbangan kepada mangsa banjir di sini, sedikit sebanyak meringankan beban,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan