AM > BERITA

LHDN Terima Lebih 34 Juta e-Invois Sejak Dilaksanakan Ogos Lepas

24/09/2024 01:04 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Lebih 34 juta e-Invois diterima Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) daripada pembayar cukai sejak sistem itu mula dilaksanakan 1 Ogos lepas.

Penolong Pengarah Bahagian E-Invois Jabatan Operasi Cukai LHDN Jaffar Tukiran berkata sambutan itu merupakan perkembangan positif kerana ia mencerminkan pembayar cukai di negara ini menyokong dan patuh kepada pelaksanaan e-Invois.

“Malah yang lebih membanggakan ialah jumlah tersebut meliputi pembayar cukai fasa pertama, kedua, ketiga. Maksudnya ada (pembayar cukai) yang sudah melaksanakannya awal sebelum fasa mereka.

“Sambutan yang diterima sangat baik. Malah kami juga sangat teruja sebab angka itu setiap masa meningkat. Ini satu perkara yang membanggakan. Pembayar cukai sangat menyokong dan sangat patuh kepada pelaksanaan e-Invois ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu dalam rancangan Klinik Cukai terbitan Bernama Radio yang membincangkan topik ‘Pematuhan Cukai Dalam Era Digital’.

Fasa pertama pelaksanaan e-Invois membabitkan syarikat besar dengan perolehan jualan tahunan melebihi RM100 juta manakala fasa kedua bakal bermula 1 Jan tahun hadapan membabitkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan antara RM25 juta hingga RM100 juta.

Bagi fasa ketiga bermula 1 Julai tahun hadapan, pelaksanaan e-Invois bakal diwajibkan kepada semua kategori pembayar cukai.

Terdahulu ketika bersiaran, Jaffar berkata LHDN sedar wujud kerisauan dalam kalangan pembayar cukai berhubung keselamatan data mereka dan sejauh mana sistem yang disediakan selamat untuk digunakan.

Namun katanya LHDN sentiasa komited dalam memastikan keselamatan data pelanggan justeru pembayar cukai dinasihatkan supata tidak risau berhubung perkara itu.

“LHDN mempunyai pengalaman dalam menyediakan e-perkhidmatan kepada pembayar cukai. LHDN juga ada pengalaman lebih 20 tahun menyediakan e-pemfailan kepada pembayar cukai. Kita akan menggunakan semua pengalaman yang ada untuk memastikan semua data yang dihantar pembayar cukai adalah selamat.

“(Selain itu) LHDN juga tertakluk kepada peraturan dan panduan yang disediakan kerajaan. Malah dalam LHDN sendiri juga kami ada garis panduan keselamatan ICT (Teknologi Informasi dan Komunikasi) yang perlu dipatuhi. Kami juga akan diaudit berkaitan ISO dan sebagainya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan