AM > BERITA

Isu GISBH Terus Dapat Perhatian, Banyak NGO Tampil Hulur Bantuan Kepada Mangsa

24/09/2024 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Hingga hari ini, isu berkait dengan aktiviti syarikat GISBH yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama, terus menjadi perhatian pelbagai pihak yang ingin melihat serta mengetahui kesudahan kes terbabit.

Mengharapkan insiden yang mengejutkan negara susulan pembongkaran polis menerusi Op Global pada 11 Sept lepas itu dapat ditangani segera dengan telus dan wajar, masyarakat tampaknya tidak menyerahkan isu ini dibebani pihak berkuasa dan kerajaan semata mata.

Hal ini dapat dilihat apabila beberapa pertubuhan bukan kerajaan menguar-uarkan komitmen mereka untuk membantu mangsa yang diselamatkan dari rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH dalam Op Global menerusi kepakaran masing masing.

Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (HELWA ABIM) misalnya, bersedia membantu dalam aspek sokongan emosi dan psikososial kepada mangsa.

Dalam kenyataan media hari ini, HELWA ABIM bagaimanapun memberitahu usaha ini perlu dilakukan secara bersama dan masyarakat juga disarankan memberi sokongan serta peluang kepada kanak-kanak terbabit untuk keluar daripada kemelut itu.

"HELWA ABIM turut mencadangkan supaya organisasi terlibat dengan kanak-kanak dan komuniti secara keseluruhannya dapat mewujudkan dasar perlindungan kanak-kanak dan jawatankuasa perlindungan kanak-kanak dalam organisasi masing-masing agar isu berkaitan keselamatan dan kesejahteraan golongan itu diberi perhatian utama," menurut kenyataan itu.

Tidak hanya HELWA ABIM, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) juga bersedia untuk bekerjasama dan menawarkan bantuan khususnya hal-hal berkaitan syariah kepada mangsa.

Presiden PGSM Musa Awang berkata bantuan antaranya melibatkan nasihat guaman syariah, membawa permohonan ke Mahkamah Syariah berhubung pengesahan status nikah, pengesahan status nasab anak-anak dan hak penjagaan anak-anak.

Hasrat itu, menurut Musa telah dimaklumkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan dalam satu pertemuan hari ini.

Selain nasihat guaman syariah, PGSM juga turut menawarkan diri untuk bekerjasama dalam usaha membantu proses pemulihan terhadap mangsa-mangsa GISBH, terutamanya kepada isteri dan anak-anak yang diselamatkan.

Dalam pada itu, susulan pembongkaran aktiviti GISBH menerusi Op Global itu, pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan turut bertindak dengan meneliti aspek-aspek terutama aktiviti perniagaan yang dijalankan syarikat terbabit sama ada mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Di Negeri Sembilan, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bertindak menyita beberapa barangan perniagaan restoran makanan yang didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Datuk Bandar Seremban Datuk Masri Razali berkata daripada enam premis yang mempunyai kaitan dengan GISBH di Seremban 2, hanya satu yang mempunyai lesen perniagaan manakala baki tidak mempunyai lesen dan lesen tamat tempoh, selain mendapati premis berkenaan turut melakukan beberapa kesalahan lain antaranya meletakkan kerusi dan meja makan di kaki lima awam dan mengubah suai premis tanpa kebenaran.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga melakukan siasatan dengan menyemak semua pendaftaran syarikat induk dan anak-anak syarikat GISBH termasuk pematuhan terhadap penghantaran laporan tahunan dan penyata kewangan serta segala yang berkaitan.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata syarikat terbabit berdepan pembatalan sekiranya melanggar kepentingan awam dan peraturan semasa.

Kebimbangan terhadap aktiviti menyalahi undang-undang negara perlu dibanteras habis-habisan sebelum menjadi barah dan oleh sebab itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar tindakan lanjut termasuk proses undang-undang berkaitan isu GISBH dipercepat.

Baginda turut berpandangan bahawa pasukan siasatan perlu lebih cekap meneliti sebarang kesalahan berkaitan GISBH termasuk kes jenayah.

Perkara berkenaan dizahirkan baginda semasa menerima menghadap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan