AM > BERITA

DBP Perlu Diberi Kuasa Perundangan Martabatkan Bahasa Melayu

25/09/2024 11:06 AM

Oleh Rozainah Abdul Rahim dan Nur Nabihah Dini Kassim

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu diberi kuasa perundangan bagi mempertahankan identiti dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.

Pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) Uthaya Sankar SB berpandangan DBP sebagai sebuah badan berkanun, hanya boleh menjalankan penguatkuasaan bagi memelihara identiti bahasa itu sekiranya diberi kuasa menerusi peruntukan undang-undang.

"Saya amat bersetuju dengan saranan itu namun kita tidak wajar menyalahkan DBP kerana terdapat terlalu banyak kekangan dan hambatan yang terus menghalang DBP daripada menunjukkan taring dalam soal ini.

"Misalnya, pindaan Akta DBP bukan boleh dilakukan oleh DBP. Sebaliknya, perlu ada tekad politik dalam kalangan Ahli Parlimen dan Kabinet," katanya kepada Bernama.

Beliau berharap isu berkenaan mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga pencinta dan pejuang bahasa dengan melakukan tekad politik untuk memberi kuasa kepada DBP, dengan segera membawa usul untuk meminda Akta DBP.

Semalam, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan supaya DBP diberikan lebih banyak kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang supaya tidak berlaku pertindihan dengan pihak lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT). 

Ismail Sabri dilaporkan berkata kali terakhir Akta DBP 1959 dipinda adalah pada 1995 yang mana hampir 30 tahun ia tidak dikemas kini dan diperkemaskan berdasarkan isu semasa.

Pensyarah Fakulti Industri Kreatif Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Penolong Prof Dr Charanjit Kaur berpendapat DBP wajar diberi kuasa lebih besar untuk menguatkuasakan undang-undang dalam hal-hal melibatkan pelanggaran penggunaan bahasa Melayu.

"Ini penting untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu terus mantap sebagai bahasa kebangsaan yang dihormati dan digunakan secara meluas oleh semua lapisan masyarakat.

"Kuasa ini akan membolehkan DBP mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang merendahkan, mencampuradukkan atau meminggirkan bahasa Melayu dalam urusan rasmi atau komunikasi awam,” katanya.

Menurut Dr Charanjit, dengan kuasa yang lebih luas DBP dapat menjalankan program pemasyarakatan bahasa Melayu dengan pendekatan lebih kreatif dan relevan, selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi semasa.

Katanya, program memasyarakatkan bahasa Melayu termasuk inisiatif memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan asli, tanpa mengorbankan identiti bahasa itu sendiri.

Beliau berkata cabaran semasa khususnya pengaruh dunia hiburan dan media massa, boleh melumpuhkan penggunaan bahasa Melayu yang sebenar terutamanya dengan gejala pencampuran bahasa seperti bahasa rojak dan singkatan yang semakin menular.

"Jika DBP diberikan kuasa undang-undang, mereka dapat bertindak lebih efektif dalam membendung fenomena ini dan memastikan penggunaan bahasa Melayu yang tepat dan sesuai. Keaslian bahasa Melayu sering tercemar dalam media seperti risalah, poster, iklan, drama, lagu, sitkom televisyen dan radio," katanya.

Sementara itu, pengerusi penganjur Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu ketiga 2024 Dr Kamarazaman Yacob berkata Malaysia boleh kehilangan identiti sekiranya kesalahan berkaitan penggunaan bahasa Melayu tidak dapat dikawal oleh DBP.

"Kalau tengok semua pertumbuhan bandar atau pekan baharu sudah tidak banyak lagi menggunakan nama dalam bahasa Melayu, kemudian pelancong luar datang dia ingat itulah bahasa Melayu.

"Contohnya nama Kampung Baru tiba-tiba menjadi New Village atau seperti Bangsar South dan Mont Kiara, kalau kelulusan nama berbentuk barat semua sudah begitu, mereka (pelancong luar) datang melihat tiada bezanya di England. Jadi harus dipercepatkan pindaan supaya DBP boleh mengambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata terdapat banyak papan tanda dengan huruf bahasa asing ditulis lebih besar daripada bahasa Melayu,  yang merupakan satu kesalahan tetapi DBP tidak boleh mengambil tindakan kerana tiada bidang kuasa itu.

Beliau berkata kesalahan membuat papan tanda jalan dan nama jalan serta projek perumahan perlu dimasukkan dalam peruntukan undang-undang di bawah Akta DBP dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan