SUKAN > BERITA

MALAYSIA BURU KEMENANGAN DI KEJOHANAN RAGBI B-18 ASIA

25/09/2024 01:09 PM

JOHOR BAHRU, 25 Sept (Bernama) -- Skuad ragbi negara sudah bersiap sedia bagi menghadapi saingan pada Kejohanan Ragbi Lelaki dan Wanita Bawah 18 tahun (B-18) Asia 2024 berlangsung di Stadium Ragbi Johor, pada 28 dan 29 Sept ini.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Amir Amri Mohamad berkata sembilan negara akan mengambil bahagian termasuk Malaysia selaku tuan rumah, Singapura, Sri Lanka, India, Thailand, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan, Arab Saudi dan Hong Kong yang merupakan jaguh Asia.

“Pasukan negara telah memulakan kem latihan dan menyesuaikan diri dengan keadaan stadium yang merupakan antara kelebihan kita sebagai tuan rumah. 

“...dengan persediaan yang telah dibuat, kita harap ia akan memberikan keputusan dan pencapaian memberangsangkan pada hari perlawanan nanti,” katanya pada sidang media di sini semalam, yang turut dihadiri Presiden Kesatuan Ragbi Johor (JRU) Datuk Mohd Noorazam Osman.

Sementara itu, Mohd Noorazam berkata Karnival Ragbi Johor 2024 akan berlangsung selama sembilan hari bermula Jumaat ini di lokasi sama kejuaraan ragbi asia.

Beliau berkata pelbagai aktiviti diadakan termasuk Klinik Ragbi dengan kerjasama Kumpulan Prasarana Rakyat Johor ( KPRJ) yang akan disertai 1,000 pelajar serta kursus pengadil dan jurulatih.

Turut diadakan kejohanan ragbi dengan penyertaan 104 sekolah dari seluruh Malaysia termasuk penyertaan Indonesia dan Sri Lanka, katanya.

“Antara pasukan yang akan berentap di Karnival Ragbi Johor 2024 adalah Sekolah Sukan Negeri Johor, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn, Maktab Sultan Abu Bakar, SMK Seri Mersing, Akademi Ragbi Selangor, Sekolah Dato Abdul Razak, Maktab Tentera Diraja, SMK Telok Mas, St Joseph College ( Sri Lanka) dan SMA Darunnajah, Jakarta (Indonesia),” katanya.

Beliau berkata karnival anjuran JRU sejak 2009 merupakan pentas bagi mempromosi dan menyokong pembangunan sukan ragbi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan