AM > BERITA

Akta 852 Dapat Selamatkan Nyawa Manusia Dan Alam Sekitar - CAP

25/09/2024 06:12 PM

GEORGE TOWN, 25 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bermula 1 Okt ini tidak hanya menyelamatkan nyawa manusia tetapi juga alam sekitar, kata Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N.V Subbarow.

Beliau berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan penguatkuasaan akta ini kerana ia sudah ditunggu selama bertahun-tahun.

“Akta ini pasti akan menyelamatkan berjuta-juta nyawa anak muda yang ketagih rokok dan rokok elektronik atau vape yang akhirnya terjerumus dengan dadah berbahaya.

“CAP menyokong penuh pelaksanaan akta ini dan ia mestilah dikuatkuasakan sepenuhnya, tindakan mestilah dilakukan dengan berkesan serta tiada lagi sekadar memberi amaran atau kompaun tetapi terus kepada tindakan tegas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bermula 1 Okt ini, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menguatkuasakan Akta 852 dan akta itu merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan serta larangan merokok di tempat awam.

Mengikut kenyataan di media sosial KKM, peraturan dan perintah yang bakal dikuatkuasakan ini termasuk rokok elektronik.

Mengulas lanjut, Subbarow berkata isu lain ialah penggunaan rokok elektronik di zon larangan merokok kerana ramai pengguna beranggapan kawasan itu hanya untuk perokok.

Beliau berkata pada masa ini tiada tindakan terhadap penghisap rokok elektronik di zon larangan merokok dan sepatutnya tanda larangan penggunaan rokok dan rokok elektronik turut diletakkan di kawasan itu.

“Ini termasuk perhentian bas, pusat beli-belah, tempat awam, tempat perhimpunan awam atau semasa berjalan di jalan yang dikelilingi oleh bukan perokok,” katanya.

Subbarow berkata isu yang paling penting ialah tidak membenarkan kanak-kanak memegang atau membeli apa-apa jenis produk tembakau.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan