AM > BERITA

PBAPP Pasang Paip Baharu Bernilai RM2 Juta Atasi Masalah Bekalan Air Di Seberang Perai

26/09/2024 05:25 PM

BUKIT MERTAJAM, 26 Sept (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan menyambung dan mengoperasi saluran paip baharu bernilai RM2 juta berhampiran kampus Politeknik Seberang Perai di Permatang Pauh di sini pada 4 Okt depan bagi menangani kejadian yang telah menjejaskan perkhidmatan saluran bekalan air di Seberang Perai.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata sambungan akhir dan pengoperasian saluran paip baharu dijadualkan selesai dalam tempoh 24 jam iaitu bermula 10 malam 4 Okt hingga 10 malam 5 Okt serta akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di sesetengah kawasan Seberang Perai.

"Bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan itu, PBAPP perlu menutup injap 1.2 meter (m) (garis pusat) di saluran paip air terawat dan 97,000 pengguna akaun air akan terkesan.

"PBAPP juga akan menggerakkan lori tangki air, tangki fleksi dan tangki statik di beberapa kawasan strategik, pengguna yang terkesan dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya untuk tempoh 24 jam itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pathmanathan menjelaskan penggantian paip baharu itu disebabkan kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor pihak ketiga secara tidak sengaja telah merosakkan bahagian saluran paip air utama berhampiran kampus politeknik berkenaan pada 19 Sept lepas sekali gus menjejaskan perkhidmatan bekalan air di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Beliau berkata pihaknya telah menjalankan siasatan di tapak dan mendapati bahagian yang bocor terletak kira-kira 15m di bawah longkang besar monsun dan ia agak sukar, bahaya serta mengambil masa bagi menggali lebih dalam untuk membaiki kerosakan.

Justeru, PBAPP mengambil keputusan untuk menggantikan saluran paip yang bocor dengan saluran paip baharu sepanjang 180m, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan