AM > BERITA

Delegasi BN Ke China Atas Jemputan Rasmi - Ahmad Zahid

26/09/2024 06:25 PM

KLUANG, 26 Sept (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata lawatan delegasi BN ke China baru-baru ini hanya memenuhi jemputan rasmi daripada kerajaan negara itu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata lawatan itu merupakan lawatan biasa bertujuan memberi pendedahan mengenai kemajuan yang dilaksanakan di republik tersebut.

"Begitu juga dalam Perhimpunan Agung UMNO, kita jemput semua parti politik sahabat seluruh dunia untuk datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Tautan Kasih di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh di sini hari ini.  

Ahmad Zahid juga menegaskan bahawa tiada sebarang unsur indoktrinasi berlaku sepanjang lawatan tersebut, dengan BN tetap berpegang teguh kepada ajaran Islam dan semangat nasionalisme sebagai sebuah negara merdeka.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menafikan dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Dr Sahruddin Jamal yang dilaporkan bimbang lawatan delegasi BN ke China akan membawa ajaran komunis.

Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata lawatan ke negara itu adalah bersempena 50 tahun hubungan persahabatan Malaysia-China.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan