AM > BERITA

MBC Mula Dibangun Tahun Hadapan Perkukuh Pengurusan Biodiversiti Negara

01/10/2024 06:28 PM

PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Pusat Biodiversiti Malaysia (MBC) akan dibangunkan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur sebagai pusat kecemerlangan bermula tahun hadapan dan dijadual beroperasi menjelang 2030.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata penubuhan MBC bertujuan mengukuhkan pengurusan kepelbagaian biologi merentas sektor. 

"MBC akan memainkan peranan penting untuk melengkapkan inisiatif pengurusan kepelbagaian biologi di peringkat negeri dengan memberi fokus kepada penyelidikan saintifik sumber asli; pengurusan koleksi saintifik, pembangunan standard kepelbagaian biologi dan interfasa sains dan polisi," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Persidangan Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2024 bertemakan "Jadilah Sebahagian Daripada Pelan" di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Dr Ching Thoo Kim.

Nik Nazmi berkata reputasi Malaysia sebagai negara biodiversiti mega akan terus diperkukuh di arena antarabangsa, justeru, beliau akan mengetuai delegasi ke Persidangan Parti-Parti ke-16 kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD COP16) pada bulan ini di Cali, Colombia. 

"Sudah pasti saya akan menggunakan platform ini untuk menunjukkan kepimpinan negara dalam pemuliharaan kepelbagaian biologi dan menggesa supaya lebih banyak bantuan teknikal dan dana diberikan kepada negara selaras dengan prinsip Common But Differentiated Responsibilities," katanya.

Nik Nazmi berkata komitmen Malaysia dalam memulihara kepelbagaian biologi terbukti apabila menjadi negara ASEAN pertama dan antara negara parti kepada CBD yang terkehadapan dalam mengintegrasikan kerangka kepelbagaian biologi antarabangsa iaitu Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework (KMGBF) ke dalam dasar kebangsaan.

Beliau berkata antara pencapaian utama dalam mengukuhkan pengurusan kepelbagaian biologi negara adalah kenaikan peruntukan insentif kewangan melebihi 30 peratus bagi konservasi biodiversiti dan hutan (EFT) kepada kerajaan negeri untuk melindungi, memelihara dan memulihara kawasan hutan dan kawasan perlindungan daripada RM150 juta pada 2023 kepada RM200 juta pada 2024.

Pencapaian lain termasuk pertambahan kira-kira 350,000 hektar kawasan perlindungan baharu meliputi hampir 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan dan lebih daripada 250,000 hektar kawasan perlindungan marin, pengukuhan rondaan dan penguatkuasaan melalui pelantikan 2,000 Renjer Komuniti, serta penyediaan bantuan kerugian harta benda dan tanaman kepada penduduk kampung dan komuniti setempat yang terlibat dengan konflik manusia dan hidupan liar.

Persidangan Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2024 anjuran NRES bertujuan membincangkan isu, cabaran serta strategi pengurusan kepelbagaian biologi negara yang dihadiri lebih 150 peserta terdiri daripada pegawai di peringkat Persekutuan dan negeri, penyelidik, ahli akademik, pelajar, pihak swasta, badan bukan kerajaan serta komuniti.

Persidangan tahunan itu menumpukan kepada 17 sasaran yang digariskan di bawah Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 antaranya memperkasakan komuniti dan kehidupan mampan, pemuliharaan kepelbagaian biologi dan ekosistem serta pengurusan hutan, agromakanan dan pelancongan mampan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan