AM > BERITA

Empat Hingga Enam Episod Hujan Lebat Dijangka Berlaku Antara November Hingga Mac 2025

03/10/2024 11:58 AM

PUTRAJAYA, 3 Okt (Bernama) -- Monsun Timur Laut 2024/2025 dijangka bermula pada November 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan sebanyak empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Ambun Dindang berkata episod hujan lebat dijangka berlaku di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember 2024 manakala hujan lebat dijangka lebih tertumpu di negeri Johor, Sabah dan Sarawak bermula Disember hingga Januari 2025.

“Selain itu, hujan berterusan juga mungkin berlaku di negeri-negeri pantai barat sekiranya terdapat luruan monsun yang kuat atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara.

“Kebanyakan tempat dijangka mengalami jumlah hujan bulanan pada paras purata, kecuali beberapa kawasan di utara dan timur Semenanjung serta timur Sabah, yang dijangka menerima hujan sedikit atas paras purata pada fasa awal Monsun Timur Laut (MTL),” katanya ketika berucap pada Forum Iklim Kebangsaan (FIK) 2024 yang bertemaka Monsun Timur Laut: Tindakan dan Cabaran Barisan Hadapan di sini hari ini.

Katanya pada penghujung MTL iaitu dari bulan Februari hingga Mei, beberapa kawasan di utara Semenanjung Malaysia seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu dijangka akan mengalami cuaca yang kering dan kurang hujan.

Masalah jerebu setempat dan rentas sempadan, serta gelombang haba, juga dijangka akan berlaku dalam tempoh tersebut.

“Untuk menangani masalah jerebu, METMalaysia telah mengambil inisiatif untuk menghasilkan model sebaran aerosol dan agen pencemar atmosfera bagi menyokong operasi harian jabatan, terutama semasa musim jerebu dan kering,” katanya.

Selain itu, METMalaysia turut menyediakan Sistem Penarafan Bahaya Kebakaran (Fire Danger Rating System - FDRS) untuk mengenal pasti kawasan yang berpotensi berlaku kebakaran hutan serta tanah gambut.

Selain daripada perkhidmatan cuaca dan iklim, MET Malaysia juga memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan berkaitan gempa bumi dan tsunami.

Dalam usaha memperkukuhkan sistem perkhidmatan gempa bumi dan tsunami, METMalaysia juga sedang melaksanakan projek yang melibatkan penambahan 23 siren tsunami, 17 stesen tolok pasang surut, enam stesen seismologi dan penambahbaikan sistem pemprosesan maklumat gempa bumi dan tsunami.

“Melalui projek ini, kita dapat mengukuhkan keupayaan sistem perkhidmatan gempa bumi dan tsunami sedia ada serta meningkatkan penyampaian maklumat kepada masyarakat, sekali gus mengurangkan risiko bencana gempa bumi dan tsunami di Malaysia,” katanya.

FIK merupakan forum tahunan yang diadakan sejak 2011, bertindak sebagai platform kerjasama antara agensi pengurusan bencana untuk berkongsi maklumat dan pandangan. Forum ini seterusnya bertujuan merangka dan menyusun strategi terbaik dalam meningkatkan pengurusan bencana negara, terutama dalam menghadapi MTL.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan