AM > BERITA

JIM Perak Buka Semula Kaunter Khidmat Penuh Di Meru Raya

03/10/2024 12:58 PM

IPOH, 3 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak membuka semula kaunter perkhidmatan penuh untuk orang ramai di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Meru Raya selepas ditutup empat tahun lepas. 

Pengarah berkenaan Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata kaunter yang beroperasi di aras tiga kompleks itu bersedia untuk menerima pelanggan sejak Selasa lepas. 

Beliau berkata pembukaan kaunter penuh perkhidmatan di Kompleks KDN itu satu ikhtiar baharu Imigresen kepada rakyat dan masyarakat sekitar untuk mendapatkan pasport dengan lebih cepat, khususnya di Ipoh. 

"Jika dahulu kita mampu keluarkan lebih kurang 750 pasport baharu di Pejabat Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak, kini kita mampu keluarkan lebih 1,100 pasport dalam sehari di Ipoh. 

"Kita mempunyai empat lagi premis Imigresen di Lumut, Teluk Intan, Taiping dan Pengkalan Hulu yang kebiasaannya mampu mencetak lebih kurang 200 hingga 250 pasport baharu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Meor Hezbullah berkata pembukaan semula kaunter perkhidmatan penuh itu juga sekali gus dapat mengurangkan kesesakan waktu puncak, khususnya di pejabat Imigresen UTC Perak. 

"Jika di UTC Perak hanya tujuan membuat atau memperbaharui pasport sahaja, tetapi di Kompleks KDN kita mempunyai kaunter untuk semakan dan rujukan, ia perkhidmatan penuh bagi pengguna mendapatkan maklum balas. 

"Di sini (Kompleks KDN) boleh dilakukan semakan pasport Sabah dan Sarawak, Dokumen Perjalanan Terhad (DPT), Sijil Perakuan Cemas (SPC), Sijil Akuan Perjalanan (SAP), semakan senarai sah jabatan termasuk pengesahan perjalanan di bahagian keselamatan dan pasport JIM," katanya. 

Beliau berkata buat masa ini urusan imigresen di Kompleks KDN boleh dilakukan secara terus tanpa perlu menggunakan Sistem Angka Giliran (QMS) seperti yang dilaksanakan di UTC Perak. 

"Orang ramai boleh melakukan urusan imigresen di Kompleks KDN Meru bermula 8 pagi sehingga 5 petang setiap Isnin hingga Jumaat. 

"Waktu rehat adalah pada 1 hingga 2 petang manakala pada Jumaat pula 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang dan pengguna boleh merancang waktu yang sesuai bagi apa jua urusan mereka," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan