AM > BERITA

Santuni MADANI: Kampung Pertanian Dipilih Kampung Angkat Dr Zaliha

06/10/2024 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Kampung Pertanian di Kulai, Johor dipilih sebagai kampung angkat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI).

Dr Zaliha dalam catatan menerusi Facebook hari ini berkata beliau memilih kampung berkenaan memandangkan pernah membuka klinik di kawasan Bandar Putra Kulai dengan kebanyakan pesakit beliau adalah penduduk dari Kampung Pertanian.

“Jadi, kampung ini memang cukup nostalgia buat saya. Bulan lepas, setiausaha politik saya telah turun berjumpa dengan pemimpin tempatan dan melihat keperluan dan mengenal pasti demografi setempat di kawasan tersebut,” katanya.

Ahli Parlimen Sekijang itu berkata bagi tujuan itu, beliau bersama Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Fadlun Mak Ujud dan delegasi Jabatan Wilayah Persekutuan hari ini mengadakan perbincangan bersama Pegawai Daerah Kulai Fizwan Mohd Rashidi, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai Mohd Fahmi Salam, penghulu, wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung serta wakil Pejabat Ahli Parlimen Kulai.

“Ada ruang dan potensi kerjasama boleh diusahakan di antara Perbadanan Putrajaya dan Kampung Pertanian, antaranya melalui inisiatif yang sedang kita giatkan di Wilayah Persekutuan sekarang, iaitu Waste to Wealth dan Kebun Komuniti. Insya-Allah, jika dilaksanakan dengan kaedah yang tersusun dan teratur, taraf sosioekonomi penduduk boleh ditingkatkan.

“Dalam sesi perbincangan tersebut, Perbadanan Putrajaya juga membentangkan cadangan pengindahan tebing Sungai Skudai dan potensi untuk menjadikan Kampung Pertanian sebagai tumpuan pelancong domestik,” katanya.

Program Santuni MADANI diadakan bertujuan meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk di kampung terpilih melibatkan Ahli Jemaah Menteri, pimpinan tertinggi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan