AM > BERITA

Pelan Bahaya Risiko Cerun JKR Babitkan Jalan Negeri Dijangka Siap 2025 - Exco

18/11/2024 12:48 PM

SHAH ALAM, 18 Nov (Bernama) -- Pelan bahaya risiko cerun membabitkan jalan-jalan di Selangor di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dijangka siap pada tahun depan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim berkata pelan tersebut bertujuan mengenal pasti kawasan cerun yang hampir runtuh selain memudahkan proses pemantauan.

"Selain itu, bagi kawasan yang tidak melibatkan jalan, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga menyediakan peta bahaya dan risiko bagi seluruh Selangor.

"Peta ini akan memberi keutamaan kepada kawasan bertanah tinggi terutamanya di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) berhubung langkah kerajaan negeri dalam menangani masalah tanah runtuh.  

Menurut Izham, sistem amaran awal (EWS) turut dipasang di beberapa lokasi kawasan cerun di tanah bawah JKR, JMG dan pihak berkuasa tempatan bertujuan memberi indikasi amaran awal supaya persediaan serta tindakan susulan dapat dilaksanakan segera dalam mengatasi masalah tanah runtuh. 

"Pemakaian garis panduan perancangan pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi antaranya dalam meletakkan syarat zon penampan bertujuan mengurangkan risiko dan bahaya cerun runtuh terhadap sesuatu pembangunan yang hendak dilaksanakan serta impak terhadap kawasan sekitar," katanya.

Mengenai isu kejatuhan harga tanah, Izham berkata ia antara faktor sedang dipertimbangkan kerajaan negeri sebelum mempamerkan pelan risiko dan bahaya tanah runtuh di sesuatu lokaliti kepada awam. 

Beliau berkata sekiranya dipamerkan secara tidak sewajarnya, ia akan menyebabkan spekulasi kepada harga tanah. 

"Namun, pada masa sama kita tidak boleh mengabaikan keperluan untuk maklumkan kepada rakyat kemungkinan tempat itu adalah bahaya demi menjaga kemaslahatan penduduk.

"Ini dua faktor sedang dipertimbangkan untuk dilihat sebelum membuat keputusan sama ada perlu mempamerkan secara menyeluruh atau berperingkat," katanya.

Izham menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) sama ada kerajaan negeri bersedia untuk mempamerkan pelan risiko dan bahaya tanah runtuh tersebut kepada orang awam.   

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan