AM > BERITA

MOSTI Komited Perkasakan Astronomi Dan Sains Angkasa Demi Pembangunan Lestari

23/02/2025 12:18 PM

PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Planetarium Negara sentiasa komited dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan bidang Astronomi dan Sains Angkasa melalui pelbagai aktiviti pembelajaran sains bukan formal secara interaktif serta program-program pembudayaan Sains Angkasa dan Astronomi.

MOSTI dalam kenyataan hari ini berkata hal ini penting bagi memastikan negara tidak ketinggalan untuk menguasai bidang Sains Angkasa dan Astronomi bagi menjamin pembangunan yang menyeluruh dan lestari.

“Secara tidak langsung usaha ini juga mendukung Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN) 2021-2030 yang menekankan penguasaan ilmu Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dan menerajui ASEAN Space Economy,” katanya.

MOSTI berkata selaras dengan usaha tersebut, Planetarium Negara dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan syarikat swasta GOLAAdventures Sdn Bhd telah menganjurkan program Perkelahan Astronomi sempena fenomena Planetary Alignment atau Penjajaran Planet, yang menyaksikan tujuh planet berbaris dalam satu garis merentasi langit dari barat ke timur.

Fenomena ini bermula pada awal Januari 2025 dan dijangka dapat disaksikan sehingga hujung Mac 2025.

MOSTI berkata program itu diserikan dengan pelancaran simbolik oleh Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Dr Aminuddin Hassim, bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI Ruziah Shafei serta Pengarah Planetarium Negara Mohd Zamri Shah Mastor.

 Acara itu berjaya menarik lebih 1,500 pengunjung dari seluruh negara, yang hadir seawal 3 petang dan program dijadualkan berakhir pada 3 pagi.

Selain aktiviti perkelahan, program berkenaan turut menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti Pameran Astrofotografi, Info Matahari, aktiviti hands-on, sesi perkongsian astronomi, serta aktiviti pencerapan matahari dan planet yang dikendalikan oleh beberapa balai cerap seluruh negara dan penggiat astronomi tempatan.

“Perkelahan Astronomi ini merupakan inisiatif kerjasama kerajaan-swasta untuk memperkenalkan konsep pelancongan astronomi atau “Astro Tourism” di Malaysia dengan pendekatan mesra keluarga.

“Kerjasama erat antara kerajaan dan pihak swasta ini diharap dapat meningkatkan minat dan inspirasi terhadap bidang astronomi dan sains angkasa dalam kalangan generasi muda,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan