AM > BERITA

Feri Sri Tanjong 1 Dijangka Beroperasi Sebelum Aidilfitri

11/03/2025 04:16 PM

TUMPAT, 11 Mac (Bernama) -- Feri Sri Tanjong 1 yang menghubungkan Pengkalan Kubor ke Takbai, Thailand dijangka mula beroperasi sebelum Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi setelah memperoleh Sijil Penumpang daripada Jabatan Laut Malaysia.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Nik Soh Yaacoub berkata feri jenis Roll On Roll Off (RoRo) bernilai hampir RM8 juta itu tiba di jeti JKR Pengkalan Kubor pada 4 Mac lepas bagi menggantikan feri sedia ada yang sering mengalami kerosakan setelah beroperasi lebih 37 tahun.

"Kami menjangkakan feri ini boleh memulakan operasi sebelum 1 Syawal. Feri ini mampu menampung 58 penumpang dan lapan hingga 10 kenderaan ringan atau sebuah bas dengan kapasiti 44 penumpang atau empat lori lima tan atau dua lori 10 tan.

"Feri Sri Tanjong 1 dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan Malaysia-Thailand serta manfaat besar kepada penduduk khususnya di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan feri berkenaan kepada JKR Feri Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Nik Soh berkata jadual perkhidmatan feri akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai bagi memudahkan urusan perjalanan antara Malaysia dan Thailand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan