AM > BERITA

UMT Komited Bantu Pendidikan Asnaf, Tuisyen Percuma Diteruskan

16/03/2025 12:11 PM

KUALA NERUS, 16 Mac (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan program tuisyen percuma Asnaf to Asnaf (A to A) bagi membantu 325 pelajar tahun ini.

Naib Canselor UMT, Prof Ir Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata program tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM365,400 yang dibiayai oleh Etiqa Family Takaful Berhad.

"Program yang memasuki tahun keempat itu bertujuan memberikan peluang kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kalangan asnaf untuk mendapatkan bimbingan secara percuma daripada mahasiswa UMT yang bertugas sebagai tenaga pengajar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bermula tahun ini, program itu dijenamakan semula sebagai Tuisyen Komuniti Etiqa hasil kerjasama antara UMT dan Etiqa Family Takaful Berhad.

"Kami komited meneruskan program ini bagi membantu lebih ramai pelajar yang memerlukan bimbingan akademik tambahan tetapi kurang berkemampuan," katanya.

Mohd Zamri berkata, sejak diperkenalkan, program itu telah memberi manfaat kepada 1,630 pelajar serta melibatkan 405 mahasiswa sebagai tenaga pengajar sepanjang tiga tahun penganjurannya.

Menurutnya, bayaran sagu hati yang diberikan kepada mahasiswa terlibat juga membantu mereka dalam menampung perbelanjaan harian di kampus.

"Mahasiswa yang dipilih sebagai tenaga pengajar juga terdiri daripada golongan asnaf. Ini adalah antara inisiatif UMT untuk membantu pelajar kurang berkemampuan menangani kos sara hidup," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa UMT dan Etiqa Family Takaful akan memperkukuh kerjasama pada 2025 melalui projek Etiqa Wakaf Boardwalk, yang memfokuskan kepada pemuliharaan biodiversiti serta konservasi alam sekitar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan