AM > BERITA

Kilang Padi Cemar Udara Dikenakan Tindakan Di Yan

16/03/2025 06:03 PM

ALOR SETAR, 16 Mac (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap sebuah kilang padi di Yan yang didapati melakukan pencemaran udara dan menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat.

Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya menjalankan siasatan dan pemantauan terhadap kilang padi itu semalam, setelah menerima aduan awam.

"Kilang padi itu dikenakan tindakan POK di bawah Seksyen 38 (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 hari ini setelah mendapati alat kawalan pencemaran udara gagal berfungsi dengan baik dan mengalami kebocoran sehingga menyebabkan berlaku pencemaran udara yang ketara di sekitarnya.

"Tindakan POK itu diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku dan kilang padi berkenaan diarahkan untuk menghentikan operasi supaya langkah-langkah pembaikan dapat dijalankan dengan segera bagi mengawal pencemaran yang berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 AKAS 1974 dikeluarkan kepada kilang itu untuk tindakan pembaikan dan penyelenggaraan segera dalam tempoh POK yang telah ditetapkan.

"Kilang itu akan dibenarkan beroperasi kembali selepas JAS Kedah berpuas hati dengan langkah pembaikan yang diambil. Pihak industri diingatkan agar sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya serta memastikan tidak menyebabkan berlakunya pencemaran kepada alam sekeliling.

"Orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan