ISKANDAR PUTERI, 19 Mac (Bernama) -- Pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Johor perlu setanding dengan kemudahan perkhidmatan yang terdapat di negara maju seperti Singapura, kata Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Bukhari Yahya.
Beliau berkata ini kerana Johor sedang menerima kemasukan pelaburan asing yang tinggi susulan pelbagai inisiatif ekonomi yang diusahakan kerajaan negeri, dan negeri ini bukan sahaja bertanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia, tetapi juga dengan negara jiran.
“Kalau kita tidak laksanakan pembangunan dan infrastruktur setaraf seperti dijangka pelabur asing, kita mungkin akan ketinggalan,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MCMC Negeri Bersama Pemegang Taruh Negeri Johor di Eco Galleria di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Bukhari berkata Johor juga bakal menjadi negeri contoh dalam negara khususnya berhubung aspek pembangunan infrastruktur.
Beliau berkata MCMC komited untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi-agensi lain dalam memastikan hasrat Johor menjadi negeri maju menjelang 2030 tercapai.
Terdahulu, pada majlis itu MCMC turut meraikan kira-kira 40 ahli Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Johor dengan pelbagai juadah berbuka puasa.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan