AM > BERITA

Pindaan Akta 588 Pertingkat Keselamatan Dalam Talian, Sasar Buli Siber Dan Kandungan Jelik - MCMC

20/03/2025 10:42 AM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang berkuat kuasa pada 11 Feb lepas, bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian dan menangani kebimbangan yang kian meningkat mengenai buli siber dan kandungan jelik di Internet.

Ketua Bahagian Dasar Pengawalseliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Devi Annamalai berkata pindaan itu merupakan langkah penting dalam mengawal selia faedah jangka panjang kepada pengguna akhir, memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam, terutamanya dalam era digital.

"Apa yang kami mahu lakukan adalah memberikan peringatan yang tegas terutamanya dengan kes buli siber (yang berlaku) baru-baru ini, yang mana kita lihat ada individu yang sangat terkesan sehingga mereka mengambil nyawa sendiri. 

"Itu sesuatu yang kita tidak mahu ia berulang dalam landskap negara kita jadi apabila kita lihat kepada insiden dan senario itu, kita perlu menambah baik peruntukan untuk menjadikannya lebih berbentuk pencegahan - penalti untuk kesalahan lebih tinggi lagi," katanya dalam rancangan BERNAMA TV 'The Nation' bertajuk 'Think Before You Click: Online Safety in the Digital Age' hari ini.

Pindaan Akta 588 itu diluluskan Dewan Rakyat menerusi undi belah bahagian pada 9 Dis tahun lepas dan diwartakan pada 7 Feb.

Devi berkata pindaan berkenaan yang melibatkan lebih 200 semakan kepada peruntukan sedia ada termasuk peraturan yang lebih ketat mengenai kandungan yang dianggap tidak senonoh, lucah, palsu atau jelik melampau.   

Sebagai contoh, beliau berkata pindaan kepada Seksyen 211, yang berkaitan penyedia perkhidmatan seperti penyiar dan stesen radio, telah dikemas kini untuk mengenakan penalti yang lebih tinggi sehingga RM1 juta ke atas kesalahan tersebut.

Sementara pindaan Seksyen 233, beliau berkata ia menangani penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian oleh pengguna individu, termasuk penyiaran kandungan lucah, mengancam atau kandungan tidak senonoh di platform media sosial atau menerusi komunikasi elektronik.

"Apabila saya bercakap tentang pindaan ini, ini (naskhah biru rang undang-undang) ialah dokumen awam, sesiapa sahaja boleh melihatnya dan ia memberi anda kejelasan tentang perkara yang tidak dibenarkan...mungkin ia lebih sukar untuk difahami (syarat perundangan) tetapi jika anda pergi ke laman web kami, kami menyediakan rujukan ringkas tentang perkara yang jelik dan sebagainya.

"Ia penting kerana apabila anda dalam talian dan anda menyiarkan sesuatu, anda fikir ia tidak serius tetapi sebenarnya apa yang anda siarkan boleh menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang baru dipinda dan Seksyen 233 yang baru dipinda," katanya.

Devi berkata selain itu, undang-undang lain di negara ini yang sedang dipinda berhubung membendung buli siber ialah Kanun Keseksaan kerana ia melibatkan kebanyakan peruntukan yang akan digunakan untuk mendakwa kesalahan berkaitan buli siber.

Mengetengahkan kes tragis Rajeswary Appahu dan lebih dikenali sebagai Esha, yang menjadi mangsa buli siber semasa sesi langsung di media sosial, beliau berkata SKMM turut memperkenalkan rangka kerja pelesenan yang disasarkan kepada penyedia platform media sosial dan penyedia pesanan Internet.

Beliau berkata ini bagi memastikan platform berkenaan mengambil tanggungjawab yang lebih besar terhadap kandungan yang dikongsi dalam perkhidmatan mereka.

Sementara itu, Devi berkata MCMC kini sedang mengusahakan pembangunan rangka kerja keselamatan dalam talian kebangsaan sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk memerangi bahaya dalam talian, sambil menambah bahawa rangka kerja itu akan berfungsi sebagai pendekatan pelbagai serampang.

Beliau berkata rangka kerja itu bertujuan menyediakan pelan tindakan komprehensif untuk mengurus keselamatan dalam talian di Malaysia, memastikan semua pihak berkepentingan berkaitan terlibat dalam menangani isu itu dari pelbagai sudut.

"Pendidikan dan kesedaran adalah sangat penting, ini bukan berlaku sekali sahaja, anda pergi dan beritahu orang ramai perkara ini mencurigakan jangan klik dan semua itu, ia tidak terhenti di situ. Kesedaran pendidikan ini adalah sesuatu yang perlu berterusan, jadi apa yang kami lakukan dalam suruhanjaya itu sekarang ialah kami sedang menyediakan rangka kerja kebangsaan untuk keselamatan dalam talian," katanya. 

Devi turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada berhubung mengamalkan keselamatan dalam talian dengan berhati-hati terhadap pautan yang mencurigakan dan tidak melibatkan atau mengklik pautan daripada sumber yang tidak diketahui dan tidak disahkan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan