TAWAU, 20 Mac (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas sebuah bot kargo dengan muatan hampir 3,000 kilogram (kg) barang kawalan berupa gula dan minyak masak yang diangkut tanpa permit, di kawasan perairan Tanjung Batu di sini dua hari lepas.
Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata bot kargo itu dikesan oleh kapal peronda KM Medang yang menjalankan Ops Pagar Laut, sedang bergerak dari arah Jeti Makmur menuju ke Pulau Sebatik pada 6 petang.
"Sebanyak 2,110 kilogram gula pasir serta 820 kilogram minyak masak berpaket ditemukan di dalam bot berkenaan, pemeriksaan mendapati bot kargo itu dikendalikan seorang lelaki berusia 30 tahun bersama seorang pembantu lelaki warganegara Indonesia berumur 25 tahun.
"Juragan bot gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa dan hanya mempunyai dokumen pengikraran barangan runcit ke Pulau Sebatik, anggaran nilai rampasan RM40,000," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shahrizan berkata siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku jenayah di perairan di sini diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial