PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) -- Indeks Kebahagiaan Malaysia meningkat kepada 88.84 peratus tahun ini berbanding 83.34 peratus pada 2020, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata dapatan terkini itu mendapati sebahagian besar bandar di Malaysia menunjukkan peningkatan dari segi indeks kebahagiaan selaras usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan persekitaran yang lebih kondusif.
“Saya difahamkan bagi pengukuran Indeks Kebahagiaan 2025, sebanyak 153 PBT (pihak berkuasa tempatan) telah menyertai kaji selidik indeks ini. Tahniah saya ucapkan.
“Dari segi pencapaian, 75 peratus bandar telah mencapai Tahap Bahagia dan 25 peratus mencapai Tahap Sederhana Bahagia. Ini jelas menunjukkan peningkatan positif dalam usaha kita mewujudkan komuniti yang lebih harmoni dan inklusif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nga berkata Indeks Kebahagiaan Bandar di negara ini mula dilaksanakan pada 2015 melalui sistem MURNInets.
Beliau berkata kriteria pengukuran indeks itu, selaras dengan pengukuran kebahagiaan di peringkat dunia yang memberi fokus kepada pelbagai aspek, seperti tahap tekanan hidup, tahap kesihatan, hubungan kekeluargaan serta kepuasan terhadap kemudahan dan kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh pemimpin setempat.
Berkongsi inisiatif Kerajaan MADANI bagi meningkatkan kebahagiaan rakyat, Nga berkata antara usaha yang dilaksanakan adalah mencapai sasaran membina 500,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM), melaksanakan 6,000 projek pembangunan infrastruktur awam asas serta menutup 2,500 tapak pelupusan sampah haram.
“Kerajaan MADANI terus komited memastikan kesejahteraan rakyat kekal sebagai keutamaan menerusi pelbagai inisiatif berimpak tinggi untuk dinikmati oleh semua lapisan rakyat,” katanya.
Mengenai aspek perancangan dan pembangunan bandar, Nga berkata PlanMalaysia terus komited melaksana dan merealisasikan perancangan bandar serta desa yang seimbang, terangkum, pintar, berkonsepkan bandar rendah karbon dan mampan.
Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertekad menjadikan Malaysia sebagai negara yang bersih, selamat dan dicintai oleh semua.
“Dengan semangat ‘Prihatin dan Kebersamaan’, marilah kita terus berganding bahu membina negara yang lebih bahagia, harmoni dan sejahtera untuk semua,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial