PUTRAJAYA, 21 Mac (Bernama) -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menggesa hukuman lebih berat terhadap bapa yang mengeksploitasi anak tirinya.
Beliau merujuk kes seorang lelaki berusia 56 tahun yang didenda RM6,000 kerana mengaku bersalah merakam dan memiliki bahan lucah berupa video serta gambar bogel anak tirinya yang diambil ketika kanak-kanak itu sedang mandi.
Nancy berharap pihak yang bertanggungjawab dapat merayu terhadap hukuman berkenaan menggunakan ruang yang ada.
"Pada pandangan saya, hukuman yang lebih berat wajar dikenakan ke atas perbuatan jijiknya sebagai seorang bapa tiri yang seharusnya menjadi pelindung kepada ahli keluarganya dan bukannya berkelakuan sedemikian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nancy berkata kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
"Saya rasa saya tidak keseorangan yang menganggap bahawa hukuman yang dikenakan adalah ringan berbanding kesalahaan yang telah dilakukan. Kita tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang bentuk eksploitasi dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak," katanya.
Nancy berkata hukuman yang lebih tegas bukan sahaja menberikan keadilan kepada mangsa, tetapi juga menjadi pengajaran dan peringatan kepada masyarakat bahawa perbuatan seumpama itu tidak akan diterima dalam apa jua keadaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial