LUMUT, 21 Mac (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah mewujudkan pasukan sukarelawan Jalinan Wira yang berperanan dalam memfokuskan kepada hal ehwal kebajikan pencarum melibatkan warga serta bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi berkata pasukan sukarelawan yang ditubuhkan pada Februari tahun lepas itu dikendalikan sepenuhnya oleh 170 petugas LTAT dan berfungsi memudahkan bantuan disalurkan kepada golongan sasaran.
“Sama ada menyediakan bubur lambuk pada Ramadan, membantu veteran ketika banjir atau memelihara alam sekitar, pasukan ini komited meluangkan lebih banyak masa sebagai sukarelawan di luar tugas rasmi.
“Inisiatif ini bukan sekadar program biasa, tetapi merupakan satu komitmen yang berterusan untuk membalas jasa mereka yang telah mengabdikan hidup demi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Mahabbah Kasih Ramadan serta Majlis Iftar Jalinan Wira LTAT Bersama Warga Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB) di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini malam tadi.
Hadir sama Pengerusi LTAT Jen (B) Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima Armada Barat Laksamana Madya Mohamad Azuwan Harun.
Mohammad Ashraf berkata selain pasukan sukarelawan, Yayasan LTAT bersama LTAT turut menyumbang bantuan kewangan kepada 17 anggota ATM serta ahli keluarga yang berdepan masalah kesihatan kritikal menerusi program sama yang diadakan di 5 Rejimen, Kem Bukit Kayu Hitam, Kedah, 13 Mac lepas.
Beliau berkata LTAT turut menganjurkan taklimat celik kewangan kepada anggota ATM bagi memberi penerangan mengenai pengurusan kewangan, perlindungan sosial serta manfaat persaraan.
“Hal ini bagi memastikan anggota ATM bukan sahaja dihargai, malah dilengkapi dengan ilmu pengetahuan untuk kesejahteraan kewangan mereka, baik semasa berkhidmat mahupun selepas persaraan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial