KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hadir memberi sokongan kepada MyCreative Ventures yang menganjurkan RIUH Raya Kita 2025 di Raintree Plaza, Tun Razak Exchange (TRX) di sini hari ini.
Festival itu, yang berlangsung dari 19 hingga 23 Mac bermula 3 petang hingga 2 pagi, menyatukan pelbagai elemen seni, budaya dan keusahawanan tempatan dalam suasana penuh meriah sempena Aidilfitri.
Lebih 80 jenama tempatan termasuk Kahlo Studio, The Batik Life, Rumah Hartiqa dan Behati menyertai festival itu selain sembilan bengkel kreatif yang memberi peluang kepada pengunjung mendalami seni serta warisan tempatan.
Fahmi meluangkan masa lebih sejam beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung sambil menyaksikan sendiri keunikan produk tempatan serta pelbagai aktiviti kebudayaan seperti kaligrafi khat, anyaman ketupat dan sampul raya DIY.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures Zainariah Johari.
Festival itu turut menampilkan persembahan istimewa artis terkenal seperti The Impatient Sisters, Nastia, Megat Fazly dan FUGO yang menambah kemeriahan suasana Aidilfitri.
Selain aktiviti beli-belah dan hiburan, RIUH Raya Kita 2025 juga membawa misi kemasyarakatan menerusi program OneForOne yang membolehkan pengunjung menyumbang makanan kepada golongan memerlukan dengan tambahan RM10 bagi setiap pembelian makanan serta minuman.
Malah hidangan turut ditawarkan pada harga serendah RM7 bagi memastikan lebih ramai orang dapat menikmati suasana perayaan tanpa beban kewangan.
Dijangka menarik kehadiran lebih 60,000 pengunjung, festival itu bukan sekadar meraikan budaya serta kreativiti tempatan tetapi juga memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat melalui seni dan budaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial