KOTA BHARU, 22 Mac (Bernama) -- Pertandingan Debat 'Semmozhi Sangamam 2025' dilihat mampu mengukuhkan lagi penghayatan terhadap bahasa Tamil serta mengukuhkan perpaduan antara kaum dalam kalangan mahasiswa di negara ini.
Pengarah projek pertandingan itu P. Logita berkata program berkenaan bukan sekadar medan perdebatan tetapi merupakan inisiatif pihaknya untuk memperkukuh kecintaan serta mengangkat keindahan dan kehebatan bahasa Tamil.
"Sebanyak enam institusi pengajian tinggi awam mengambil bahagian pada pertandingan kali ini iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) kampus Kubang Kerian, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaysia Kelantan, Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Tuanku Bainun, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin.
"Semmozhi Sangamam 2025 dianjurkan oleh Persatuan Kebudayaan India Kampus Kesihatan USM bertujuan mengangkat keindahan dan kehebatan Bahasa Tamil, selain dapat mengeratkan hubungan antara mahasiswa dari seluruh negeri," katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis penutup pertandingan itu di USM Kampus Kesihatan Kubang Kerian, di sini hari ini.
Beliau berkata antara tema bagi topik debat yang diketengahkan termasuk ekonomi, bahasa dan sumbangan belia kepada masyarakat.
Terdahulu, kumpulan Sol Venthar dari IPG kampus Tuanku Bainun dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 berserta piala dan sijil.
Ahli kumpulan itu T. Elavarasi dan R. Mathiventhan Naidu, kedua-duanya berusia 22 tahun, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai permulaan buat mereka meneruskan perjuangan memartabatkan bahasa Tamil khususnya dalam kalangan generasi muda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial