GEORGE TOWN, 25 Mac (Bernama) -- Sebanyak 2.6 juta kenderaan dijangka memasuki Pulau Pinang sempena sambutan Aidilfitri minggu depan.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata jumlah itu berdasarkan jangkaan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik (JSPT) melibatkan kenderaan yang melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) sepanjang pelaksanaan Op Selamat 24 bermula 29 Mac hingga 3 April ini.
“Pulau Pinang berada di pertengahan antara Kedah dengan Perak dan sebagainya, jadi sebab itu kita jangkakan laluan tersebut akan mencecah 2.6 juta.
“Bukan hanya rakyat Pulau Pinang sahaja melalui lebuh raya tersebut untuk pulang ke kampung tetapi juga dari negeri-negeri berjiran,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Mohd Alwi berkata sebanyak 331 anggota JSPT akan bertugas bagi melaksanakan rondaan dan kawalan sepanjang tempoh pelaksanaan Op Selamat 24.
Beliau turut memaklumkan hanya 10 peratus daripada kira-kira 6,700 anggota dan pegawai polis melibatkan kontinjen Pulau Pinang dibenarkan bercuti raya manakala selebihnya bertugas seperti biasa.
Katanya, penugasan turut melibatkan rondaan di kawasan perumahan termasuk kampung-kampung bagi menjaga keselamatan dan kepentingan awam termasuk harta benda berikutan ketiadaan penghuni yang pulang untuk berhari raya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial