AM > BERITA

Muhammad, Abdul, Siti, Nur, Nama Paling Banyak Didaftar JPN

26/03/2025 10:26 AM

Oleh Amanina Mohamad Yusof

PUTRAJAYA, 26 Mac (Bernama) -- Nama Muhammad, Abdullah, Abdul, Nur, Siti, dan Nurul menjadi nama yang paling banyak didaftarkan dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) setakat ini.

Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias berkata nama-nama itu sering menjadi pilihan ibu bapa kerana ia secara tidak langsung melambangkan identiti Islam dan bangsa Melayu.

"Nama-nama seperti Muhammad, Abdul, Nur, dan Siti ini biasanya diikuti dengan nama kedua. Lazimnya, ibu bapa akan mendapatkan nama daripada sumber rujukan seperti buku nama bayi, laman web keibubapaan, al-Quran, hadis serta pakar bahasa sebelum membuat keputusan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata trend pada masa ini menunjukkan ibu bapa cenderung menamakan anak mereka dengan nama yang bukan sahaja sedap disebut dan mudah diingat, tetapi juga membawa makna indah dan positif.

Badrul Hisham berkata nama berunsur Islamik dan Arab seperti Aisyah, Maryam dan Rayyan juga masih menjadi pilihan utama ibu bapa kini kerana ia membawa maksud yang baik.

Selain itu, beliau berkata ejaan nama turut mengalami perubahan dengan nama-nama klasik, seperti Amir dieja sebagai Ameer atau Zahra sebagai Zara untuk tampak lebih moden.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam rekod JPN, nama terpanjang mengandungi 15 patah perkataan manakala nama paling pendek pula hanya mengandungi dua abjad.

Bagaimanapun, dalam keterujaan memilih nama anak, Badrul Hisham menasihati ibu bapa untuk sentiasa merujuk kepada pihak JPN sebelum membuat keputusan mendaftarkan nama anak mereka sekiranya terdapat kekeliruan.

Berdasarkan Seksyen 16, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) bagi Semenanjung Malaysia, Pendaftar Besar boleh mendaftarkan atau tidak mendaftarkan sesuatu nama.

JPN juga telah mengeluarkan Arahan Jabatan mengenai Prosedur Penamaan Kanak-Kanak Semasa Pendaftaran Kelahiran sebagai garis panduan kepada semua pendaftar.

Badrul Hisham berkata berdasarkan arahan berkenaan, terdapat tiga kategori penamaan kanak-kanak, iaitu penamaan kanak-kanak yang ditegah seperti pangkat dan gelaran, penamaan kanak-kanak dengan nama yang tidak sesuai dan penamaan kanak-kanak bagi keturunan.

"Antara pangkat dan gelaran yang dilarang diberikan sebagai nama ialah Tan Sri, Datuk, Datuk Seri, Tun, Haji, Nabi, Gabenor, Dr dan Mahaguru.

"Selain itu, ibu bapa juga ditegah menamakan anak mereka dengan nama kurang sesuai seperti nama haiwan, buah-buahan, sayur-sayuran dan perkakasan. Mereka juga tidak dibenar menggunakan ringkasan nama seperti D, Mohd, Abd, M dan lain-lain lagi untuk anak mereka,” katanya.

Bagi keturunan pula, pihak JPN akan mengambil kira sama ada gelaran itu memang diwarisi daripada ahli keluarga atau tidak seperti Tengku, Megat dan Puteri, sebelum membenarkan nama itu didaftarkan.

Badrul Hisham berkata bagi bukan Islam pula, mereka turut tertakluk dengan garis panduan pemberian nama anak, seperti mereka tidak dibenarkan menamakan anak dengan nama tuhan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan