AM > BERITA

Isu Penjaja Belon: DBKL Rehatkan Anggota Terlibat Sementara Tunggu Siasatan Selesai

30/03/2025 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Tiga anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terlibat dalam insiden pergelutan dengan seorang penjaja belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Jumaat lepas, direhatkan sementara daripada tugas.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata tindakan itu diambil bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman DBKL serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar ia dapat dijalankan secara bebas, telus, dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan.

Dalam satu kenyataan beliau berkata keputusan ini juga turut dibincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

“DBKL memandang serius kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku warga kerja sekiranya dibuktikan bersalah, terutama yang menjejaskan integriti dan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan.

“DBKL kekal berprinsip untuk menegakkan tadbir urus yang berintegriti, bertanggungjawab dan berteraskan prinsip keadilan kepada semua pihak. Sebarang keputusan akan ditentukan setelah siasatan penuh selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Video pergelutan antara anggota penguat kuasa itu turut tular di media sosial baru-baru ini dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai.

Penjaja belon berkenaan Muhammad Za’immudin Azlan, 28, kini menerima rawatan di sebuah hospital awam.

DBKL sebelum ini berkata insiden itu berlaku susulan penjaja itu enggan memberi kerjasama dan mematuhi arahan penguat kuasa, selain didakwa bertindak agresif terhadap anggota bertugas.

Sementara itu Maimunah berkata Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) Ismadi Sakirin dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Mohd Muzammer Jamaluddin yang mewakili DBKL telah menziarahi Muhamad Za’imuddin Azlan di hospital berkenaan.

“DBKL akan mempertimbangkan untuk menanggung kos rawatan beliau sepanjang tempoh rawatan, tertakluk semakan lanjut dan keperluan perubatan semasa. Kami menyeru semua pihak mengelak dari membuat spekulasi, bagi membolehkan pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan