KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Bapa kepada S. Harsheetaa Sai yang berusia lapan tahun merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sumbangan yang diberikan sehingga membolehkan RM1.5 juta berjaya dikumpul untuk pembedahan jantung anaknya di Amerika Syarikat.
R. Selva Ganapathy, 42, berkata jumlah itu berjaya dikumpulkan hanya dalam tempoh kurang sebulan selepas media melaporkan mengenai kisah anak perempuannya yang menghidap penyakit jantung kongenital.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kemurahan hati dan sokongan padu anda semua dalam saat mencabar ini. Terima kasih kepada keprihatinan anda, kami telah capai sasaran kutipan yang diperlukan untuk rawatan anak saya.
“Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menghulurkan sumbangan yang membantu meringankan beban kewangan kami. Dengan sumbangan anda, kami kini dapat meneruskan rawatan dan pembedahan seterusnya di Boston Children’s Hospital,” katanya kepada Bernama.
Selva Ganapathy yang juga seorang guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Saraswathy di Sungai Buloh berkata beliau kini sedang menunggu temu duga visa di kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia dan berharap dapat berlepas ke negara itu antara 12 hingga 14 April.
Harsheetaa Sai yang bersekolah di tempat sama bapanya mengajar menghidap penyakit itu sejak lahir dan memerlukan bantuan kewangan untuk menjalani rawatan di hospital berkenaan yang terkenal dengan kepakaran dalam merawat masalah jantung yang kompleks.
Pada 20 Mac, Anwar menghulurkan sumbangan kepada keluarga Harsheetaa Sai yang disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi ketika menziarah kanak-kanak itu di Batu Caves, Selangor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial