AM > BERITA

Syarikat Telekomunikasi Diarah Tingkatkan Kualiti Liputan Di DUN Ayer Kuning

14/04/2025 10:26 AM

TAPAH, 14 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan segera berhubung masalah liputan internet dan telekomunikasi yang tidak memuaskan di 27 lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan ini susulan teguran Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengenai perkara itu.

“Beberapa langkah proaktif telah diambil penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti yang diarahkan oleh MCMC bagi memastikan perkhidmatan di kawasan terlibat serta lokasi tumpuan Pilihan Raya Kecil (PRK) berada pada tahap yang memuaskan,” menurut kenyataan itu.

Antara lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan keutamaan termasuk pusat penamaan calon di Dewan Merdeka Tapah, 21 pusat mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning, pusat media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang, serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning dan NADI PPR Sri Bidor.

"Setakat 6 petang semalam, semua penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan terkini yang ditambah baik kepada MCMC.

"Antara inisiatif penambahbaikan yang telah dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada, pemasangan pemancar sementara dan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan,” menurut kenyataan itu. 

Selain itu, MCMC turut membuka kaunter aduan di PPD Batang Padang, Tapah yang beroperasi dari 9 pagi hingga 9 malam bermula 12 hingga 26 April bagi menerima sebarang aduan berkaitan perkhidmatan telekomunikasi, pos dan isu lain di bawah bidang kuasanya.

"MCMC akan terus memantau prestasi liputan secara harian dan akan menyampaikan sebarang aduan baharu secara terus kepada penyedia perkhidmatan untuk tindakan segera. 

"Sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan terhadap arahan ini akan dikenakan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang terpakai," menurut MCMC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan