AM > BERITA

KKDW Laksana Program Seri Di 4,000 Rumah Daif Di Sabah - Ahmad Zahid

27/09/2025 01:43 PM

KOTA KINABALU, 27 Sept (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan melaksanakan Program Selenggara Elektrik Rumah Impian (SERI) terhadap 4,000 rumah daif di Sabah yang memerlukan penyelenggaraan pendawaian.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata program yang dilaksanakan menerusi GiatMARA itu adalah untuk menyelenggara rumah yang memerlukan pembaikan atau pendawaian semula.

“Ini adalah peringkat permulaan dan kita akan mencari peruntukan supaya jumlah (rumah) ini akan ditambah.

"Sebagaimana saya sebutkan tadi, rumah-rumah ini jangan hanya dipilih dalam kalangan ahli keluarga, kawan-kawan atau tokoh-tokoh tertentu sahaja… mesti kepada yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Inspirasi Wanita Luar Biasa Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Jelita GiatMARA di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Penasihat Kehormat Kebangsaan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ahmad Zahid berkata pada peringkat awal, hanya 1,000 rumah dirancang menerima manfaat daripada program SERI itu, namun jumlah terbabit ditambah selepas mengambil kira kawasan Sabah yang luas.

Terdahulu dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri berkata melalui pelbagai program di bawah KKDW termasuk program TVET Jelita GiatMARA, beliau yakin peratusan tenaga pekerja wanita akan bertambah walaupun hanya bekerja dari rumah.

Beliau berkata pada masa ini, tenaga kerja wanita di seluruh negara merekodkan hanya 56.5 peratus berbanding lelaki iaitu 83.2 peratus manakala program TVET Jelita GiatMARA diyakini bukan hanya meningkatkan pendapatan keluarga, tetapi juga melahirkan wanita yang mempunyai daya kreatif tinggi.

Pada majlis itu, sebanyak 278 peserta TVET Jelita GiatMARA menerima sijil masing-masing yang menyertai lapan program latihan selama sehari yang diadakan secara serentak di lima pusat GiatMARA semalam.

Kursus dijalankan merangkumi menghasilkan aneka pastri dan bakeri, masakan barat, gubahan bunga kreatif, urutan tradisional, teknik membuat sanggul, rawatan kuku kaki dan tangan, solekan majlis rasmi serta asas rawatan muka.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan