AM > BERITA

133 Usahawan PMKS Sertai Sesi Padanan Perniagaan Libatkan 15 Syarikat Terkemuka

28/09/2025 08:50 PM

MELAKA, 28 Sept (Bernama) -- Sebanyak 133 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Melaka menghadiri sesi padanan perniagaan melibatkan 15 syarikat terkemuka bagi memasarkan perniagaan mereka dengan potensi nilai jualan mencecah RM14.97 juta.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Seah Shoo Chin berkata sesi yang dianjurkan sempena Karnival Usahawan Negeri Melaka 2025, yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat, melibatkan usahawan pelbagai jenis produk makanan dan minuman yang berhasrat memasarkan keluaran mereka ke pasaran lebih luas seperti pasar raya dan stesen minyak.

Beliau berkata usaha itu bukan sahaja mampu meningkatkan hasil jualan malah menaik taraf status perniagaan daripada mikro ke peringkat lebih tinggi, sekali gus membuka peluang kepada usahawan mengintai potensi pasaran lebih baik termasuk antarabangsa pada masa hadapan.

"Sesi padanan perniagaan ini dilakukan dengan kerjasama pelbagai agensi antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan ia dianjurkan setiap tahun untuk membantu atau membuka laluan lebih mudah kepada usahawan mengintai peluang perniagaan dengan syarikat besar.

"Kita anggarkan kira-kira 20 peratus daripada usahawan yang terlibat dalam sesi padanan perniagaan berkenaan akan berjaya memasuki pasaran pasar raya dan stesen minyak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Festival Layang-Layang Antarabangsa dan Karnival Usahawan Negeri Melaka 2025 sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Seah berkata pada tahun lepas, sebanyak 30 peratus daripada 250 usahawan yang terlibat dalam sesi itu berjaya memasarkan produk mereka di beberapa pasar raya terkemuka dan stesen minyak dengan potensi nilai jualan RM10.2 juta.

Terdahulu, beliau berkata sebanyak 50 usahawan makanan, minuman dan pelbagai jenis produk lain terlibat dalam Karnival Usahawan Negeri Melaka 2025 dengan sasaran nilai jualan RM150,000.

"Karnival ini mendapat sambutan sangat baik daripada pengunjung yang hadir bukan sahaja untuk menikmati pelbagai makanan dan minuman yang dijual tetapi juga menyaksikan pertunjukan pelbagai jenis dan saiz layang-layang melibatkan 120 pelayang.

"Kesemua pelayang berkenaan adalah dari 10 negeri seperti Johor dan Melaka serta 10 negara antaranya Singapura, Vietnam, Thailand dan China," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan